Persembahan daripada Jaclyn Victor pada Konsert Gegar Vaganza Musim Ke-9 (GV9) minggu pertama yang diadakan di Auditorium MBSA. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Persembahan daripada Jaclyn Victor pada Konsert Gegar Vaganza Musim Ke-9 (GV9) minggu pertama yang diadakan di Auditorium MBSA. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Jaclyn Victor yang menyertai program realiti Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) mengakui berdepan dengan masalah gugup sebelum membuat persembahan sehingga membuatkan dia muntah.

"Mungkin ramai yang tidak tahu, saya mempunyai masalah gugup yang sangat teruk sehinggakan boleh muntah-muntah sebelum naik pentas," katanya.

Jaclyn berkata, dia masih cuba mengawal rasa gugup supaya tidak keterlaluan tetapi belum dapat cara bagi menanganinya lagi.

"Jadi, saya mengambil pendekatan untuk melihat program ini sebagai persembahan biasa dan bukan pertandingan," katanya.

Terdahulu, program GV9 yang bermula malam tadi menyaksikan Jaclyn turut menjadi trending di Twitter, semalam.

Jaclyn berkata, dia juga takut akan jangkaan dan harapan peminat terhadap dirinya.

Bagaimanapun, dia cuba untuk memberikan yang terbaik sepanjang berada di GV9.

"Saya memang takut dengan jangkaan dan harapan peminat, namun saya tidak mahu tertekan atau takut akan perkara itu sebaliknya menjadikan perkara itu sebagai pembakar semangat," katanya.

GV9 kembali dengan musim kesembilan apabila menyaksikan 13 penyanyi hebat berentap bagi merebut gelaran juara.

Selain Jaclyn, turut bertanding ialah Roy Kapilla, Fuad Rahman, Hazrul Nizam, Bob Yusof, Tomok, Asheed, Dina Nadzir, Pat Candy, Tom, Haida Hasnan, Shila Amzah dan Kumpulan VE.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 3:24 PM