Mark Adam
Mark Adam
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Selain menyanyi dan berlakon, Mark Adam mengakui dia juga amat mencintai karier sebagai penyampai radio bagi memperbaiki penguasaannya dalam bertutur bahasa Melayu dengan baik.

Mark atau nama Islamnya, Fikri Mark Adam Abdullah, 43, dari Filipina, berkata dia sedia mempertimbangkan tawaran menjadi penyampai radio semula sekiranya masih mendapat peluang itu.

"Setakat ini, saya tidak mendapat lagi sebarang tawaran untuk berkhidmat sebagai penyampai radio semula. Tapi, jika masih ada peluang tawaran untuk itu (penyampai radio), saya sangat suka dan akan mempertimbangkannya.

"Ini kerana, ketika saya berpeluang berkhidmat sebagai penyampai radio selama enam bulan dulu, memang sangat membantu saya bercakap Bahasa Melayu dengan baik. Syukur Alhamdulillah, saya juga semakin fasih dan faham bercakap Bahasa Melayu ketika itu.

"Bahkan, saya sebenarnya ada 'target' dalam kontrak sepatutnya dua tahun itu yang mana dalam tempoh setahun saja pasti saya sudah mampu bercakap Bahasa Melayu, termasuk berkomunikasi dengan sangat baik," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mark, tujuan utamanya bergelar penyampai radio kerana mahu belajar Bahasa Melayu sehingga dia 100 peratus boleh berkomunikasi dengan baik bersama peminat dan rakan artis yang lain.

Terdahulu, Mark pernah menyertai Geng Pagi Hot (GPH) di Hot FM sebagai penyampai radio pada Februari sehingga Julai tahun lalu sebelum kontraknya ditamatkan oleh pihak pengurusan stesen berkenaan.

Bagi perkembangan lain untuk karier seninya, Mark kini membintangi drama Guard Komando yang bergenre komedi dan padat dengan kisah kekeluargaan untuk slot Diandra TV9 dan mula ditayangkan pada 28 Julai ini.

Drama ditayang setiap Khamis serta Jumaat, jam 8.30 malam itu diarahkan Mp Roslin. Selain Mark, barisan pelakon utama lain ialah Shamsul Ghau Ghau, Fendy Bakry dan Jiggy Masin yang bergabung sebagai anak-beranak 'komando' buat kali pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 5:46 PM