Mark Adam (kiri) dan Fizie akhiri kerjaya mereka di konti radio Hot FM.
Mark Adam (kiri) dan Fizie akhiri kerjaya mereka di konti radio Hot FM.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Bukan seorang, tetapi dua penyampai radio segmen Geng Pagi Hot (GPH) di Hot FM iaitu Fizie dan Mark Adam mengambil keputusan untuk meninggalkan stesen radio terbabit, hari ini. 

Fizie ketika dihubungi berkata, selepas hampir 10 tahun bersama Hot FM dia akhirnya nekad untuk meninggalkan stesen radio itu bagi memberi fokus kepada bisnes yang diusahakan. 

"Keputusan untuk tidak bersama Hot FM adalah persetujuan bersama dengan pihak pengurusan. Saya nekad tinggalkan Hot FM bagi  memberi fokus kepada beberapa perniagaan yang dijalankan. 

"Ini satu keputusan yang sangat berat untuk saya. Hampir tiga bulan juga, saya fikir dan akhirnya hari ini saya sudah digelar sebagai bekas penyampai radio Hot FM. 

"Saya ambil keputusan ini sebab nak fokus bisnes yang terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini. 

"Kadang-kadang kita perlu korbankan sesuatu untuk menyelamatkan sesuatu. Jadi, saya korbankan kerjaya di radio yang menjadi 'punca rezeki' selama ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fizie, buat masa ini dia mahu berehat seketika daripada kerjaya sebagai penyampai radio, namun sentiasa terbuka jika ada peluang baharu. 

"Sekiranya ada beberapa tawaran sebagai penyampai radio di tempat lain, saya terbuka saja. Cuma, saya nak beri fokus untuk baik pulih perniagaan dalam tempoh tiga bulan ini. 

"Banyak kenangan sepanjang bersama Hot FM, antaranya saya mula dikenali secara perlahan-lahan dan mendapat beberapa peluang berharga seperti menjadi pengacara Anugerah Juara Lagu (AJL), menemubual insan-insan seni yang hebat termasuk aktres Bollywood Kajol sehinggalah berpeluang  menjejakkan kaki ke pejabat Perdana Menteri sebelum ini," katanya. 

Sementara itu, Mark Adam pula berkata, dia menerima dan akur dengan keputusan untuk tidak bersama Hot FM lagi. 

"Saya terima keadaan ini dan anggap rezeki saya sampai di sini saja. Banyak benda yang saya belajar di Hot FM. Antaranya, kerja berpasukan, persahabatan dan penguasaan bahasa Melayu yang lebih baik," katanya. 

Tambah Mark, dia tiada sebarang perancangan kerana pandemik Covid-19 membataskan pergerakannya untuk bekerja. 

"Saya hanya mampu berserah kepada takdir Ilahi kerana Dia yang memberi rezeki. Cuma, sekarang kelas vokal saya juga perlukan bantuan kerana terjejas akibat Covid-19. Tapi, saya tetap positif," katanya.

Selain Fizie dan Mark, segmen GPH turut dikendalikan pelakon yang kini bergelar penyampai radio, Riena Diana. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 4:07 PM