Najiy Jefri


DALAM sekelip mata kerjaya penyanyi, Mark Adam berubah ke bidang radio apabila ditawarkan mengendalikan segmen Geng Pagi Hot di Hot FM sejak 15 Februari lalu.

Mark berkata, dia tidak pernah terfikir akan bergelar penyampai radio dan bersyukur di atas kepercayaan yang diberikan.

"Tak pernah terfikir atau terlintas langsung dalam fikiran. Apabila ditawarkan kerja ini, rasa seperti mimpi. Namun, saya percaya ini rezeki dan sangat bersyukur dengan apa yang dikurniakan. Bagi saya, kerja ini bukan kerjaya biasa. Kami mempunyai tanggungjawab besar untuk menyampaikan maklumat bermanfaat kepada pendengar," katanya.

Menurut Mark, kerjaya sebagai penyampai radio yang diceburi perlahan-lahan mengubah gaya hidupnya apabila rutin harian sudah mula berubah.

Mark berkata, dia perlu bangun tidur seawal jam 3.30 pagi sebelum mengendalikan program berkenaan bersama dua lagi rakan penyampai, Fizie dan Riena Diana.

"Jam 4.30 pagi dah kena keluar rumah. Senang cerita, saya sudah menjadi individu yang bangun awal pagi sekarang. Saya percaya, kalau kita bangun awal, rezeki akan senang masuk. Dulu kerja menyanyi, balik lewat sampai jam 3 pagi. Sekarang kena elakkan supaya peranan dan tugas di radio tidak terganggu.

"Saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan skop kerja sebagai penyampai radio. Jujur, saya sangat seronok dengan kerjaya baharu. Setiap hari, semakin banyak benda yang saya belajar terutama betapa pentingnya penguasaan bahasa Melayu,

" katanya yang masih aktif sebagai penyanyi.

MARK sentiasa berusaha baiki penguasaan bahasa Melayu.
MARK sentiasa berusaha baiki penguasaan bahasa Melayu.

Walaupun dia belum fasih sepenuhnya dalam bahasa Melayu, Mark menggunakan peluang kerjaya itu sebagai proses pembelajaran buat dirinya.

"Setiap hari saya rasa nak belajar benda baharu dan terus memperbaiki penguasaan bahasa Melayu dengan membaca banyak berita dalam surat khabar, media sosial dan buku.

"Tiada istilah terlambat untuk belajar tapi perlu sentiasa berusaha mencari waktu untuk belajar sesuatu yang berguna dan positif," katanya.

Ditanya mengenai gandingannya dengan Fizie dan Riena, Mark berkata, dia selesa bekerja dengan mereka.

"Riena seorang yang sangat mudah didekati, sempoi dan 'gila-gila' dia pun boleh tahan juga. Semua orang tahu wataknya sebagai Lailer dalam Kampung People.

"Dalam konti radio, dia sama seperti Lailer, tetapi kena jaga perangai sikit. Fizie pula seorang yang berpengalaman dan banyak memberi tunjuk ajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 6:45 AM