FIZIE tidak sabar mulakan perjalanan kerja yang baharu bersama gandingan terkini GPH.
FIZIE tidak sabar mulakan perjalanan kerja yang baharu bersama gandingan terkini GPH.
Norhayati Nordin

BAGI pendengar Hot FM yang merindui celoteh Fizie dalam segmen Geng Pagi Hot (GPH), penyampai itu kembali ke udara di bermula hari ini.

Tidak muncul bersendirian menghiburkan pendengar seawal pagi, Fizie kini bergandingan dengan rakan penyampai baharunya yang juga artis komedi, pelakon, komposer dan penyanyi, Mark Adam.

Fizie atau Mohamad Hafizie Roslan, 32, sebelum ini tidak ke udara mengendalikan GPH seketika iaitu hampir sebulan kerana dia menjalani sesi latihan intensif bersama Mark.

Sepanjang tempoh itu, Fizie berkata. dia sangat rindu untuk ke udara untuk menemani pendengar setia Hot FM yang menjadi rutin harianya sejak bertahun lalu .

"Ini sebenarnya adalah pengalaman kali pertama saya tidak ke udara dalam tempoh yang panjang. Sejak tiga minggu lalu, saya menjalani sesi latihan bersama Mark dan pihak pengurusan bagi memastikan segmen GPH berjalan seperti dirancang.

"Tentunya saya amat teruja dan tidak sabar untuk memulakan perjalanan kerja yang baharu bersama gandingan terkini, Mark yang dirasakan mampu memberi satu impak berbeza kepada pendengar setia GPH di Hot FM dengan karakternya yang lucu dan bersahaja," katanya.

Mark atau nama sebenarnya Fikri Mark Adam Abdullah, 41, dipilih untuk menerajui GPH bersama Fizie selepas pengunduran pelawak dan ahli perniagaan, Shuib yang membuat keputusan meninggalkan Hot FM pada Januari lalu.

Menurut Mark, tawaran untuk menyertai Hot FM diterimanya sekitar Januari lalu. Katanya, ia dilihat sebagai satu peluang keemasan yang tidak wajar dilepaskan begitu sahaja.

"Tak dinafikan, kerjaya saya kini sudah berubah 360 darjah. Ketika ditawarkan untuk menjadi penyampai di Hot FM, saya fikir banyak kali sebab ini bukan sahaja kerjaya, tetapi tanggungjawab besar yang perlu saya galas.

MARK dipilih menemani Fizie terajui segmen Geng Pagi Hot.
MARK dipilih menemani Fizie terajui segmen Geng Pagi Hot.

"Namun pada masa sama saya sedar peluang sebegini tidak datang selalu dan terus membuat keputusan mahu menyertai Hot FM. Sejujurnya, peluang ini juga memberi ruang untuk saya mencabar diri bagi mencuba sesuatu yang baharu," katanya.

Apapun, Mark berkata, dia juga sedar bahawa dirinya masih kurang fasih untuk bertutur dalam Bahasa Melayu. Namun dia nekad akan mencuba sebaik mungkin dan yakin dapat mengusai serta memperbaikinya.

"Bahasa Melayu bukan bahasa pertama saya, jadi untuk bertutur dengan lancar sebagai penyampai radio adalah cabaran utama. Tapi, saya juga melihat peluang di Hot FM ini adalah salah satu cara untuk memperbaiki bahasa pertuturan saya.

"Malah, selama terbabit dalam sesi latihan bersama Fizie hampir sebulan ini, banyak memberi idea untuk saya mempersiapkan diri sebagai penyampai radio.

"Sememangnya perasaan sangat teruja untuk ke udara, tapi saya tidak boleh elak rasa gugup memang ada kerana bukan mudah untuk menghiburkan pendengar menerusi radio. Kalau dalam program TV, saya tak cakap apa-apa pun orang sudah bergelak ketawa," katanya.

Kata Mark, apabila sudah memilih bekerja di radio, dia tahu kena sentiasa ada idea untuk dilontarkan dan pastikan pendengar memahami informasi yang disampaikan.

Katanya, dia bersama Fizie dan pengurusan Hot FM akan mencuba untuk menyajikan pengisian yang terbaik buat pendengar.

Ketua Audiens Melayu, Nik Nor Azura Nik Mahmood berkata, kemasukan Mark adalah bagi merancakkan lagi industri penyiaran radio dan secara khususnya untuk memberi nafas baharu kepada segmen GPH di Hot FM.

"Kami sentiasa mencari bakat dan muka baru untuk menghiasi dan memantapkan barisan Hot FM. Seperti semua tahu, Mark seorang artis versatil yang diakui kemampuannya. Kami percaya kekuatannya sebagai penyanyi, pelakon dan penghibur dapat memberi warna dan variasi kepada pengisian GPH.

"Selain itu, kelebihan Mark juga terletak pada keikhlasan dia apabila memberikan sesuatu persembahan dan itu dapat mendekatkan lagi Hot FM dengan pendengar kami," katanya.

Nik Nor Azura juga memberitahu GPH akan menampilkan pengisian lebih segar berdasarkan kisah menarik yang berlaku dalam kalangan pendengar dan kisah peribadi penyampai.

"Banyak idea yang ingin kami hidangkan kepada pendengar. Semestinya langkah ini diambil untuk kami sentiasa tampil dengan pembaharuan dan mengukuhkan lagi jenama Hot FM daripada segi muzik, hiburan dan pengisian gaya hidup terkini," jelasnya.

Sehubungan itu, Hot FM turut mengumumkan segmen Jam Hot masih mengekalkan Deen dan Haziq sebagai gandingan dari jam 4 petang hingga 8 malam. Manakala, segmen Mega Hot dikelolakan Zetty pula akan ke udara dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 6:25 AM