Shamsul bersama Fendy (kiri) dan Jiggy yang menjadi anaknya dalam drama Guard Komando di TV9.
Shamsul bersama Fendy (kiri) dan Jiggy yang menjadi anaknya dalam drama Guard Komando di TV9.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak Shamsul Ghau-Ghau, 54, mengakui berasa takut dan gementar apabila sudah lapan tahun tidak mendapat tawaran watak utama dan kini digandingkan pula dengan tiga pelakon popular.

Shamsul ditemui pada sidang media secara virtual drama Guard Komando di TV9, berkata apa yang dibimbangkannya ialah tidak mampu memberikan persembahan lakonan yang baik dan mantap bersama barisan pelakon berkenaan.

"Apabila dah lama tidak melakonkan watak utama, mestilah ada rasa takut, gugup dan gementar itu. Apatah lagi, melihatkan tiga pelakon lain yang menjadi anak saya iaitu Fendy Bakry, Mark Adam dan Jiggy Masin.

"Kesemua mereka saya dapati ada kelebihannya yang mana, Fendy ialah seorang pelakon popular, Mark pula ada berjuta pengikut di Instagram dan Jiggy kini menjadi antara pelawak baharu yang semakin mendapat perhatian ramai.

"Jadi, memang ada sedikit kebimbangan untuk berlakon itu pada mulanya. Tapi, saya tidaklah tunjukkan dengan jelas kepada mereka bertiga dan cuba bersikap tenang saja. Namun, alhamdulillah kami dapat mewujudkan keserasian sebagai anak-beranak," katanya kepada Harian Metro.

Shamsul Ghau-Ghau
Shamsul Ghau-Ghau

Mengulas wataknya sebagai Komandudu Adnan dalam drama itu, Shamsul yang juga juara Sinaran Pasport Kegemilangan musim pertama di TV3 ini berkata, dia suka berbincang dengan pengarah dan pelakon lain.

"Mana babak aksi yang rasa tak mampu nak buat, saya beritahu pengarah, Mp Roslin. Malah, jika ada dialog panjang yang saya sukar nak ingat, Fendy biasanya akan bantu bagi 'keyword' tertentu. Begitu juga, Mark dan Jiggy.

"Kami bekerja umpama satu keluarga besar dan saya suka suasana yang sebegitu. Ia boleh dikatakan tanpa sedar membuatkan ikatan sesama kami sebagai bapa dan anak menjadi rapat," katanya lagi.

Selain berlakon, Shamsul juga sebelum ini difahamkan terbabit dengan aktiviti mengajar mengaji Al-Quran dan dia juga mempunyai kad tauliah daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Kad Tauliah Kategori D3 itu adalah Tauliah Mengajar Al-Quran yang melayakkan Shamsul atau mesra disapa Pak Su dibenarkan mengajar mengaji di sekitar Selangor.

Selain Shamsul, drama Guard Komando lakonan Fendy sebagai Kholid, Mark (Mansur) dan Jiggy (Dollah) akan menemui penonton di slot Diandra TV9 mulai 28 Julai ini, setiap Khamis dan Jumaat, jam 8.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 2:03 PM