FENDY Bakry. FOTO Instagram Fendy Bakry
FENDY Bakry. FOTO Instagram Fendy Bakry
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon Fendy Bakry, 33, mahu penonton sendiri menilai sejauh mana bakat lakonannya untuk watak komedi dalam drama terbaharu, Guard Komando yang akan disiarkan TV9 mulai Khamis ini.

Fendy ditemui pada sidang media virtual drama Guard Komando, berkata, dia teruja dengan watak Kholid itu yang agak mencabar kerana kali pertama memerlukannya memainkan karakter komedi.

"Pada awalnya ketika mendapat tawaran drama ini, saya terfikir-fikir juga apakah layak dan mampu melakonkan watak komedi dengan baik nanti. Saya juga berbincang dengan isteri, sama ada boleh ke saya membuat orang ketawa.

"Apapun, ia satu peluang yang baik untuk saya mencuba watak baharu. Ini kerana, saya sudah sinonim sangat dengan drama berkaitan kisah-kisah cinta sebelum ini. Jadi, saya harap penonton dapat menilai sendiri sisi komedi diri saya nanti," katanya kepada Harian Metro.

Fendy yang difahamkan 'low profile' sejak mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan dikenali Ayu pada September 2020 lalu, berkata, dia masih lagi aktif dalam kerier seni dan mendapat tawaran berlakon.

"Saya selesa dengan kehidupan sekarang. Dan, terima kasih kepada semua yang masih menyokong karier seni saya termasuk pihak produksi dan stesen televisyen yang masih sedia memberikan peluang.

"Saya seronok sepanjang terbabit dalam penggambaran drama Guard Komamdo ini kerana kami saling membantu, rapat dan umpama sebuah keluarga besar. Saya juga dapat membiasakan diri dengan pelakon-pelakon lain.

"Walaupun saya tiada asas berlawak dan dikata seorang yang serius, tapi saya tidak bersendiri apabila di set penggambaran. Saya mesti bergaul dengan semua pelakon lain dan kami dapat mewujudkan keserasian yang baik sebagai satu keluarga. Sampai sekarang pun, kami masih bertanya khabar," katanya.

Dalam drama Guard Komando arahan Mp Roslin, ia turut dibintangi pelakon Shamsul Ghau Ghau sebagai Komandudu Adnan, Mark Adam (Mansur) dan Jiggy Masin (Dollah).

Terdahulu, kemunculan Fendy atau nama sebenarnya Mohd Affandi Nor Bakri sebagai pelakon cukup meledak menerusi drama Mr Grey pada 2018, selain drama Tak Sempurna Mencintaimu di TV3 dan Hati Yang Dikhianati (Astro).

Fendy yang pernah membintangi filem Amir dan Loqman Pergi ke Laut arahan Allahyarham Mamat Khalid pada 2014 lalu juga pernah dinobatkan trofi Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 1:35 PM