WAWA Zainal mengalami kontraksi seawal pagi tadi.
WAWA Zainal mengalami kontraksi seawal pagi tadi.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Aeril Zafrel memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan isterinya juga pelakon, Wawa Zainal yang kini menanti waktu bersalin pada bila-bila masa.

Aeril, 33 berkata, Wawa tiba-tiba mengalami kontraksi hendak bersalin pada awal pagi, hari ini.

"Pagi ini tiba-tiba bayi nak keluar (bersalin). Awal seminggu dari tarikh yang diberikan (tarikh jangkaan bersalin). Doakan semuanya selamat," tulisnya.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram, Aeril berkongsi gambar menunjukkan Wawa terbaring di atas katil hospital dalam keadaan seperti sedang menahan kesakitan.

Sementara itu, cubaan Harian Metro untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaan Wawa tidak berjaya apabila panggilan telefon dan mesej tidak dibalas Aeril.

Perkongsian Aeril sejak pagi itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengikut yang tidak henti mendoakan kesihatan Wawa dan kandungan.

Malah, tidak kurang juga ada dalam kalangan pengikutnya turut berkongsi perasaan dan pengalaman menahan kesakitan ketika bersalin.

Aeril dan Wawa mendirikan rumah tangga pada 2013. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 7, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 5, dan Ayya Soffya yang kini berusia setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 4:10 PM