Wawa Zainal
Wawa Zainal
Najiy Jefri


Putrajaya: Pelakon Wawa Zainal membelanjakan hampir RM500,000 bagi meraikan stokis dan ejen yang banyak membantu syarikat kosmetiknya menjana keuntungan mencecah angka RM32 juta pada tahun lalu.

Wawa 32, atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin berkata, penghargaan diberikan itu meliputi hadiah wang tunai serta membawa rombongan seramai 33 orang menunaikan umrah hari ini.

"Mereka adalah tunjang utama Wawa Cosmetics sejak ditubuhkan enam tahun lalu. Tanpa mereka tak mungkin bisnes saya mampu bertahan.

"Sebagai menghargai pengorbanan dan jasa mereka, saya dan pasukan akan meraikan mereka setiap tahun dalam satu majlis pengiktirafan dengan ganjaran wang sebagai pembakar semangat.

"Jika beberapa tahun lalu kami menganjurkan percutian ke luar negara termasuk ke Eropah, tapi kali ini saya nak mencari keberkatan dengan membawa mereka ke Tanah Suci," katanya.

Menurut Wawa, pemergian ke Tanah Suci hari ini turut disertai oleh suaminya juga pelakon Aeril Zafrel dan anak ketiganya, Ayya Soffya yang kini sudah berusia empat tahun.

"Ini adalah umrah keempat kami berdua, cuma kali ini hanya dapat membawa Ayya Soffya kerana abang dan kakaknya sedang menghadapi peperiksaan.

"Semoga urusan ke Tanah Suci dipermudahkan dan harapnya rombongan yang mengikuti kami ini juga dapat menggunakan peluang ini untuk mengejar ganjaran pahala," katanya.

Ditanya kenapa Aeril tiada bersama pada majlis sambutan penghargaan kepada ejen dan stokis, Wawa berkata, suaminya diserang influenza.

"Sebenarnya dia disahkan influenza sejak beberapa hari lalu dan semalam sudah bebas kuarantin, cuma dinasihatkan berehat agar tenaganya betul-betul pulih.

"Insya-Allah, doakan kesihatan Aeril agar dia dapat menyempurnakan ibadah umrah ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Wawa menyasarkan perolehan sebanyak RM50 juta bagi keuntungan syarikat pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 3:38 PM