AERIL berjumpa dengan Puad berbincang untuk membina masjid.
AERIL berjumpa dengan Puad berbincang untuk membina masjid.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan usahawan popular, Aeril Zafrel berang dengan tindakan sebuah portal berita yang memuat naik kenyataan provokasi berbaur politik di Twitter berhubung pertemuannya dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit dari Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Aeril menerusi media sosial berkata, dia hairan apabila kehadirannya bertemu Puad disalah erti sehingga mahu dipolitikkan.

"Kau kalau tak tahu cerita jangan buat cerita. Aku jumpa dia sebab dia Adun Rengit, kampung aku. Aku nak buat masjid tempat kampung aku, mestilah kena jumpa wakil rakyat sini. Memang semua benda kau nak politikkan ke?," tuisnya dalam satu ciapan.

Terdahulu, portal berita itu meminta supaya Puad tidak berurusan dengan suami kepada pelakon, Wawa Zainal itu yang didakwa penyokong parti Perikatan Nasional (PN).

Portal berkenaan seolah-olah menuduh Aeril bersikap tamak apabila mahu membolot 'projek' bersama parti BN dengan memuat naik gambar pertemuan Aeril dengan Puad di sebuah hotel di Putrajaya.

Difahamkan, pertemuan Aeril itu adalah untuk membantu membangunkan kawasan Rengit yang juga tempat Aeril dibesarkan.

Sementara itu, portal berita berkenaan difahamkan sudah memohon maaf kepada Aeril.

"Kalau tuan nak buat masjid, jadi saya mintak maaf. Saya silap," balasnya dalam ciapan yang dimuat naik Aeril.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 11:28 AM