Aeril dan Wawa bersama bayi mereka, Jibril Ibtisam.
Aeril dan Wawa bersama bayi mereka, Jibril Ibtisam.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Unik. Itu reaksi yang diberikan rata-rata peminat terhadap nama anak keempat pasangan selebriti, Aeril Zafrel dan isterinya, Wawa Zainal, 30, yang memilih nama Jibril Ibtisam buat bayi lelaki mereka. 

Aeril, 33, berkata nama berkenaan dipilih mereka kerana memberikan makna yang cukup baik buat anak tersayang itu. 

"Jibril Ibtisam membawa maksud pengulu utusan tuhan yang taat dan menyenangi hati selain membawa makna haruman senyuman serta tersenyum. 

"Jika diikutkan semasa dalam kandungan lagi, Wawa memang sudah panggil anak keempat kami dengan panggilan Jibril. Malah, dia juga sudah beritahu kepada tiga anak yang lain mengenai nama adik mereka.

"Sebenarnya setiap nama anak-anak, saya ada merujuk kepada seorang guru. Dia akan berikan beberapa pilihan dan kami akan memilih nama yang terbaik," katanya. 

Ditanya mengenai keputusannya berkongsi wajah anak yang baru dilahirkan di media sosial berbanding segelintir selebriti yang mahu merahsiakannya pada awal kelahiran, Aeril berkata, setiap orang mempunyai pilihan tersendiri. 

"Bagi saya, itu adalah hak masing-masing. Saya dan Wawa selesa untuk kongsikan wajah anak kami kepada peminat. 

"Alhamdulillah saya seronok dengan kelahiran anak keempat ini. Dia pun tak banyak meragam, cuma selalu akan kejutkan kami sekitar jam 4 pagi," katanya. 

Terdahulu, Wawa selamat melahirkan anak keempat seminggu lebih awal iaitu pada 30 November lalu.

Aeril dan Wawa mendirikan rumah tangga pada 2013 sudah dikurniakan tiga cahaya mata sebelum ini iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 7, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 5, dan Ayya Soffya, kini berusia setahun.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 3:59 PM