BRITNEY Spears.
BRITNEY Spears.
Agensi

Los Angeles: Penyanyi Britney Spears, 39, mahu bapanya segera dilucutkan hak 'cengkaman' terhadapnya sebelum perbicaraan semula yang dijangka berlangsung pada 29 September nanti.

Jurucakapnya, Matthew Rosengart berkata, dalam dokumen pengadilan terbaharu, Britney turut meminta lelaki dikenali, Jason Rubin menggantikan posisi ayahnya itu.

Britney juga meminta pihak pengadilan menarik keluar bapanya, Jamie seberapa segera dengan izin pada atau selepas 23 Ogos ini.

"Setiap hari yang dilalui adalah hari lain dari bahaya dan prasangka yang boleh dihindari untuk Britney dan asetnya.

"Kesihatan dan kesejahteraan emosinya harus menjadi perhatian utama. Penangguhan langsung Jamie adalah 'kritikal' pada ketika ini," kata kenyataan terbabit. 

Kenyataan itu turut menyebut seandainya Jamie memilih untuk utamakan kebahagiaan anaknya dan menerima keputusan yang tidak memerlukan dia mengakui kesalahan, Britney boleh mula memiliki kehidupannya kembali. 

Terdahulu, Britney merayu kepada hakim Brenda Penny untuk membebaskan dia daripada 'cengkaman' bapanya yang mengawal hidup serta kekayaan bernilai RM250 juta miliknya sejak 13 tahun lalu.

Britney berkata, sistem penjagaan ditetapkan itu sangat menyeksa dirinya kerana dia juga dilarang hamil selain sebuah peranti dimasukkan ke dalam badannya supaya dia tidak mampu memiliki anak.

"Sistem penjagaan ini sangat mendera saya. Ditambah lagi, saya dan kekasih mahu berkahwin dan ingin memiliki anak, namun mereka melarangnya.

"Saya turut mempunyai peranti pencegah kehamilan dalam badan untuk mencegah saya dari hamil. Saya mahu berjumpa doktor untuk membuangnya supaya boleh mendapat anak, tapi mereka juga melarang.

"Saya rasa ditindas, dibuli dan sunyi. Saya mahukan perubahan untuk teruskan hidup dan saya layak menerima perubahan itu," kata Britney dalam perbicaraan sebelum ini. 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 12:23 PM