BRITNEY SPEARS
BRITNEY SPEARS
AFP

LOS ANGELES: Artis pop ternama, Britney Spears mengumumkan akan menghentikan aktiviti nyanyiannya buat sementara waktu semalam untuk menjaga ayahnya yang sakit.

“Saya tidak akan meneruskan persembahan terbaru ‘Domination,” katanya dalam satu muat naik cukup menyentuh hati di Twitter sambil berkongsi gambar bersama ibu bapanya ketika kecil.

Ikon 1990-an dan 2000 itu dijadual memulakan beberapa siri konsert di MGM Las Vegas pada Februari ini.

“Saya memang menanti-nantikan pertunjukan ini dan tidak sabar untuk bertemu anda semua, keputusan ini cukup berat bagi saya,” tambah penghibur berusia 37 tahun itu.

“Apapun, adalah penting untuk sentiasa mendahulukan keluarga anda, dan itulah keputusan yang perlu saya ambil.”

“Beberapa bulan lalu, bapa saya dimasukkan ke hospital dan hampir menemui ajal. Kami sangat bersyukur dia berjaya diselamatkan, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan untuk dia pulih sepenuhnya.”

Britney berkata, dia mengambil keputusan itu untuk menumpukan sepenuh masa dan tenaga demi keluarganya.

Laporan menunjukkan, usus bapa Spears, Jamie pecah tetapi dijangka pulih sepenuhnya.

Spears sebelum ini pernah mengadakan siri konsert di Las Vegas antara 2013 dan 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 2:19 PM