Britney dan Asghari
Britney dan Asghari
Agensi

Las Vegas: Suami kepada penyanyi Britney Spears, 41, iaitu Sam Asghari, 29 dilaporkan sudah memfailkan perceraian terhadap artis dari Amerika Syarikat itu selepas setahun berkahwin.

Difahamkan Asghari juga sudah berpindah keluar daripada rumah kelamin mereka.

Berita perpisahan pasangan itu didedahkan oleh sumber rapat keluarga pasangan terbabit.

"Mereka sudah berpisah dan ia adalah yang terbaik buat Britney," menurut sumber itu.

Pasangan itu bertemu di set penggambaran muzik video Britney iaitu Slumber Party pada 2016 dan hubungan mereka mula serius selepas itu.

Britney dan Asghari mengumumkan pertunangan pada September 2021 dan melangsungkan perkahwinan di Los Angeles pada Jun 2022.

Ia adalah perkahwinan ketiga buat penyanyi yang mula meledak menerusi lagu Oops! I Did It Again itu.

Britney pernah berkahwin dengan Jason Alexander pada 2004. Namun, ikatan itu hanya bertahan 55 jam sebelum mereka mengambil keputusan bercerai.

Perkahwinan kedua Britney bersama penari, Kevin Federline, pada 2004 juga berakhir dengan perceraian, setahun kemudian. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak lelaki.

Pada Ogos tahun lalu, Britney melancarkan single baharu berjudul Hold Me Closer hasil kolaborasi bersama penyanyi legenda, Sir Elton John.

Selepas lama menyepi dan memberi tumpuan kepada perbicaraan bagi membebaskan dirinya daripada diurus bapa, Britney teruja kembali ke pangkuan peminat dengan muzik baharu.

Terdahulu, Britney turut mencetus kontroversi apabila memuat naik foto bogel di media sosialnya yang nyata mengejutkan peminat hingga mencetuskan kebimbangan terhadap kesihatan mental dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 3:10 PM