ABU Bakar. FOTO Arkib NSTP
ABU Bakar. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri

"SAYA sempat menziarahi arwah dua hari lalu. Keadaannya memang sudah tenat," kata penyanyi, Aris Ariwatan mengenai pemergian pelakon veteran yang juga sepupunya, Abu Bakar Juah, 72, jam 6.35 petang hari ini.

Aris ketika dihubungi berkata, Allahyarham meninggal dunia di sisi isteri, Rusidah Mohd Yassin dan empat anaknya di kediaman mereka di Alam Damai, Cheras.

Aris berkata, Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai jam 10 pagi esok.

"Seluruh keluarga sudah reda dengan segala kemungkinan. Pemergian arwah satu kehilangan besar buat industri hiburan tempatan. Arwah banyak mewarnai drama dan filem tempatan dan setiap naskhah yang dibawakan pasti meninggalkan impak tersendiri,"

Allahyarham sebelum ini dilaporkan tenat selepas dibenar keluar dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sejak lebih dua minggu lalu.

Sebelum ini, pelakon filem Matinya Seorang Patriot dan Dukun itu disahkan menghidap kanser usus pada 2016.

Selepas menjalani 12 pusingan kimoterapi, doktor mengesahkan pelakon veteran itu bebas daripada kanser. Selepas disahkan bebas kanser, bapa kepada empat cahaya mata itu mengamalkan cara hidup sihat dengan mengambil pemakanan berkhasiat dan bersenam.

Bagaimanapun, pada awal tahun ini, doktor mengesahkan penyakit kanser kembali menyerang, malah lebih agresif hingga merebak ke hati.

Abu Bakar yang juga bekas Pengarah Penjara Taiping itu meninggalkan balu, Rusidah Mohd Yassin dan empat anak.

Drama terakhir yang pernah dibintanginya ialah Mr Grey pada 2018.

Berita berkaitan

Abu Bakar Juah meninggal dunia

Mohon tak sebarkan gambar Abu Bakar Juah sedang tenat

Abu Bakar Juah tenat

Abu Bakar Juah hidap kanser usus

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 9:26 PM