Ridzuan Abdul Rahman


"INTERAKSI terakhir abah adalah menerusi genggaman dan dia juga mengalirkan airmata seakan tahu sesuatu bakal berlaku.

"Abah pun pergi dalam keadaan tenang dan tiada kata-kata terakhir darinya," kata anak kedua pelakon Allahyarham Abu Bakar Juah, Zarith Abu Bakar, 37, ketika ditemui di tanah perkuburan, hari ini.

Allahyarham Abu Bakar, 72, meninggal dunia di kediamannya di Alam Damai jam 6.35 petang semalam, akibat kanser hati dan jenazahnya dikebumikan jam 9.50 pagi ini.

Zarith berkata, biarpun masih bersedih, mereka reda dengan pemergian Abu Bakar.

"Alhamdulillah, emak dan kamiĀ adik beradik dapat berkumpul di saat abah menghembuskan nafas terakhir.

"Kecuali suami saya tak dapat bersama, kerana berada di Kemboja dan tak dapat pulang ke Malaysia kerana pandemik Covid-19.

"Syukur juga ahli keluarga sebelah abah sempat datang melawatnya, semalam," katanya.

Zarith berterima kasih kepada pengurusan Madrasah Ehsaniah Taman Bukit Anggerik yang membantu menguruskan jenazah bapanya dari awal sehingga pengebumian.

"Begitu juga Jabatan Penjara Malaysia, rakan-rakan artis yang banyak memberi semangat danĀ pihak Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang melayan ayahnya dengan baik sepanjang tempoh rawatan.

Ditanya karakter sebenar ayahnya, Zarith berkata, Allahyarham seorang yang kelakar.

"Arwah abah, seorang yang kelakar. Karakter antagonisnya hanya dalam lakonan," katanya.

Terdahulu jenazah dikafan dan disolatkan di Madrasah Ehsaniah, Taman Bukit Anggerik, Kuala Lumpur sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Alam Damai, Cheras.

Abu Bakar meninggalkan balu, Rusidah Mohd Yassin dan empat anak iaitu Danial Nor , 39, Zarith, 37, Syafinaz, 32, dan Benjamin Nor, 28.

Antara rakan artis yang hadir ke pengebumian itu ialah Meor Hashim Manap, Rahim Jailani, Den Wahab dan isterinya, Nora Tamam.

ANAK pelakon veteran Allahyarham Abu Bakar Juah, (dari kiri) Benjamin Nor Abu Bakar, Syafinas Abu Bakar dan Zarith Abu Bakar ketika pengebumian bapa mereka di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, Cheras. FOTO Asyraf Hamzah
ANAK pelakon veteran Allahyarham Abu Bakar Juah, (dari kiri) Benjamin Nor Abu Bakar, Syafinas Abu Bakar dan Zarith Abu Bakar ketika pengebumian bapa mereka di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, Cheras. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 1:15 PM