PELAKON veteran, Abu Bakar Juah tenat selepas dibenar keluar dari PPUKM sejak dua minggu lalu.
PELAKON veteran, Abu Bakar Juah tenat selepas dibenar keluar dari PPUKM sejak dua minggu lalu.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON veteran, Abu Bakar Juah, 72, berada dalam keadaan tenat selepas dibenar keluar dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sejak dua minggu lalu.

Anak ketiganya, Safinas Abu Bakar, 32, ketika dihubungi berkata, bapanya yang menghidap kanser hati hanya terbaring selain tidak mampu memberikan maklum balas dengan baik.

"Sebelumnya ayah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman. Selepas seminggu dalam wad, ayah dibenar keluar. Sejak itu sehinggalah sekarang ayah hanya terbaring dan tidak pernah duduk.

"Melihatkan keadaan bapa boleh dikatakan dia sudah tenat. Kalau ditanya pun, dia hanya boleh respons sepatah dan sekali saja. Macam sekarang ayah sudah tidak menjalani apa-apa rawatan selain bergantung kepada ubat untuk mengawal kanser dari terus merebak," katanya kepada Harian Metro.

Safinas yang juga anak ketiga daripada empat beradik mengakui dia sekeluarga reda dan berdoa semoga segala-galanya dipermudahkan.

 

"Sekarang ini ayah berada di rumah dan dijaga oleh mak dan kami empat beradik. Kami sudah reda dan harap dipermudahkan segala urusan. Dalam masa sama, kami bersyukur apabila dalam keadaan sekarang kami sekeluarga bersatu menjaga ayah.

 

"Dalam tempoh dua minggu ini juga, dia tak ada cakap apa-apa. Ayah hanya boleh minum susu saja dan tidak ada lagi makanan solid," katanya.

 

Menurut Safinas, pelakon filem Dukun itu disahkan bebas kanser usus tahap empat selepas menjalani 12 kali rawatan kimoterapi.

 

"Kanser usus dikesan pada 2016 dan ketika itu doktor maklumkan sudah berada pada tahap empat. Selepas menjalani 12 pusingan kimoterapi, tidak ada lagi simptom kanser dan doktor sahkan ayah bebas kanser.

 

"Tapi, awal tahun ini simptom ada balik malah kanser itu merebak ke hati dan aktif. Jadi, doktor mengesahkan ayah menghidap kanser hati pula. Ketika itu ayah ambil keputusan tak nak buat sebarang rawatan. Jadi, kami adik beradik menghormati permintaan ayah.

 

"Kiranya, sepanjang empat tahun selepas buat kimoterapi ayah memang sihat. Dia juga mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam dan menjaga pemakanan. Tapi, apabila kanser datang balik, kita anggap ia takdir," katanya.

 

Dalam masa sama, Safinas berkongsi beberapa persatuan artis seperti Seniman, Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) termasuk beberapa rakan artis ada datang menziarahi bapanya.

 

Abu Bakar yang berasal dari Taiping, Perak, berkahwin dengan Rusidah Mohd Yassin sejak 1980. Mereka dikurniakan empat cahaya mata.

Drama terakhir yang pernah dibintangi Abu Bakar Juah adalah Mr Grey pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 3:47 PM