ALLAHYARHAM Amri Budin. FOTO ihsan Shahrizal Amri
ALLAHYARHAM Amri Budin. FOTO ihsan Shahrizal Amri
Zuliaty Zulkiffli


BILAL Masjid Al Hasanah, Taman Rakyat, Mergong yang disimbah petrol sebelum dibakar, bulan lalu meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (Kebakaran), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, hari ini.

Allahyarham Amri Budin, 66, yang dilaporkan tenat pada 11 pagi menghembuskan nafas terakhir kira-kira 4 petang selepas 22 hari menerima rawatan.

Anak sulung Allahyarham, Shahrizal Amri, 40, berkata arwah bapanya koma selepas menjalani pembedahan mengambil isi paha bagi menggantikan bahagian kulit melecur di bahagian kiri badannya.

Katanya, doktor memaklumkan keadaan bapanya makin tenat dan meminta anak-anaknya berkumpul buat kali terakhir.

“Kami reda dengan pemergiannya walaupun doktor meminta kebenaran keluarga untuk melakukan pembedahan bagi membuang cecair dalam peparu, tetapi kami tak benarkan.

“Biarlah ayah pergi dengan tenang,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, hari ini.

Shahrizal berkata, mereka sekeluarga menyerahkan siasatan kes berkenaan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, walaupun marah dengan tindakan suspek terbabit, namun semua yang berlaku adalah kehendak Ilahi.

“Jenazah ayah akan dibawa pulang ke rumah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Terus, Alor Setar, malam ini,” katanya.

Dalam kejadian pada 19 Februari lalu, Amri disimbah petrol sebelum dibakar oleh suspek di hadapan Masjid Al Hasanah pada 5.50 pagi ketika mahu menunaikan solat Subuh.

Polis kemudian menahan suspek kira-kira enam jam selepas kejadian berhampiran lokasi kejadian.

Manakala mangsa yang melecur 25 peratus dirawat di HSB.

Berita berkaitan

Bilal akan jalani pembedahan

Suspek bakar bilal diarah periksa mental [METROTV]

Bilal stabil, suspek direman tujuh hari

Bilal jadi mangsa keadaan

Buru dua suspek bakar bilal [METROTV]

'Apa motif bakar bilal'

Simbah minyak, bakar bilal



Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 7:02 PM