SYED Ismail (kiri) bersama anak angkatnya, Abu bakar (dua dari kanan).
SYED Ismail (kiri) bersama anak angkatnya, Abu bakar (dua dari kanan).
Asrizal Aris


Kuala Lumpur: “Dia menyuruh saya bercerita mengenai Pak Maun dalam filem P Ramlee dan ketawa bersama. Itu detik terakhir kami sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir,” kata Abu Bakar Ahmad, 48, anak angkat kepada Syed Ismail Syed Muhammad Iderus, 76.

Syed Ismail bekas pemandu teksi yang dirempuh kereta di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Isnin lalu yang disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh jam 3.50 petang, kelmarin.

Abu Bakar berkata, dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, bapa angkatnya melintas jalan dari Masjid Tasik Puteri ke kedai makan sebelum dirempuh kereta dipandu wanita.

“Kebiasaannya saya datang menjemputnya di masjid dan pergi ke kedai makan untuk sarapan bersama. Tetapi, pada hari kejadian dia pergi seorang diri tanpa menunggu saya.

“Sehari sebelum kemalangan, arwah sempat bergurau dengan menukar minuman saya dan minumannya. Dia kelihatan begitu selera makan,” katanya.

Kata Abu Bakar, arwah rapat dengan anaknya, Abdullah Muqzafar, 20, sehingga sanggup cuba untuk bangun mencari cucu angkatnya itu sebaik dirempuh kereta ketika kemalangan Isnin lalu.

“Beberapa hari sebelum meninggal dunia, arwah sempat bergambar kali terakhir dengan Abdullah ketika hendak bermain bola sepak.

“Lebih menyedihkan, arwah tidak sempat berbual panjang dengan anak tunggalnya ketika menerima rawatan di hospital akibat pernafasan semakin lemah.

“Saya yang sempat menjenguknya lebih awal pada Selasa lalu, disuruh bercerita mengenai kisah Pak Maun sebelum dia semakin tenat dan tidak mampu bernafas pada petang hari itu,” katanya.

Menurut Abu Bakar, Allahyarham Syed Ismail hanya dibantu dengan alat bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital petang kelmarin dan selamat dikebumikan selepas Isyak pada hari yang sama.

Katanya, arwah seorang yang patuh pada agama dan gemar menghabiskan masa setiap hari di masjid sejak 2007 iaitu selepas berhenti kerja sebagai pemandu teksi.

“Arwah sangat gemar menceritakan pengalamannya yang pernah membawa Allahyarham Sudirman Arshad dan Datuk Dahlan Zainudin yang menjadi penumpangnya ketika bekerja sebagai pemandu teksi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 9:29 AM