MENYEBARKAN mesej pemuliharaan tapir.
MENYEBARKAN mesej pemuliharaan tapir.
Aniza Zainudin


KISAH mengenai kasih sayang, kesukaran, ketidaktentuan nasib dan risiko kehilangan habitat semula jadi tapir menjadi konsep utama pameran Tapirama yang menggabungkan karya empat pelukis ini.

Sebanyak 70 karya diketengahkan kepada pengunjung dan 40 daripadanya dihasilkan pelukis Abby Zain, Nur Azmi Mokhtar, Ida Sri Sulo dan Lal Mural.

Menurut Lal Mural atau nama sebenarnya, Mohd Jalaludin Ahmad Ramli, tapir dikategorikan haiwan terancam apabila terpaksa keluar daripada habitat semula jadi akibat pembangunan.

“Menerusi pameran Tapirama, kami berhasrat memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan kepentingan alam sekitar.

“Kami berhasrat menyebarkan maklumat berkenaan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar serta tapir menerusi lukisan dihasilkan.

KETIDAKTENTUAN nasib tapir dipersembahkan melalui elemen geometri.
KETIDAKTENTUAN nasib tapir dipersembahkan melalui elemen geometri.

“Melalui usaha ini, kami berharap ia dapat memberi inspirasi kepada mereka yang berkenaan supaya menguatkuasakan undang-undang bagi memulihara dan mengekalkan ekosistem,” katanya.

Sementara itu, Ida Sri Sulo pula mengambil inspirasi daripada anak tapir bagi melambangkan fasa kesukaran bakal dihadapi seekor tapir mengikut peringkat usianya.

Katanya, haiwan unik yang aktif pada sebelah malam ini bukan saja mengalami isu kehilangan tempat tinggal, bahkan terdedah kepada bahaya apabila muncul di khalayak terutama jalan raya.

KESUKARAN dilalui tapir.
KESUKARAN dilalui tapir.

Selain itu, wanita ini turut mempamerkan elemen kasih sayang antara ibu dan anak tapir selain menggunakan rona terang serta ceria bagi menyerlahkan hubungan berkenaan.

Bagi Nur Azmi atau Mie Mambo, jika dibandingkan dengan haiwan terancam lain seperti harimau, gajah mahupun orang utan, tapir bukanlah haiwan popular untuk dipotretkan.

“Karya yang saya hasilkan berkisarkan penceritaan berkenaan ketidaksedaran manusia terhadap kewujudan tapir yang berada di sekeliling mereka.

“Menerusi pameran ini, kami ingin mempromosikan kisah tapir bukan saja dalam kalangan rakyat tempatan, bahkan asing dan ia mampu menjadi produk pelancongan satu hari nanti.

“Seperti flora dan fauna lain, tapir juga memainkan peranan penting dalam ekosistem,” katanya.

Sementara itu, Abby Zain mengakui mula melakukan kajian berkenaan tapir sejak tiga tahun lalu bagi menghasilkan tesis.

Pameran Tapirama hasil inisiatif Kumpulan Gariswarna ini diadakan di Creative Space, Matic bermula 5 Mac hingga 5 Mei nanti untuk mengangkat isu haiwan terancam, tapir.

DARI kiri Lal Mural, Ida Sri, Abby Zain dan Nur Azmi.
DARI kiri Lal Mural, Ida Sri, Abby Zain dan Nur Azmi.

Pameran bersempena Hari Tapir Sedunia 2019 yang disambut pada 27 April setiap tahun ini turut mengadakan kelas dan bengkel kesenian seperti kelas menjahit tapir mainan kelas melukis atas gelas serta kelas mewarna.

Malah pameran ini turut menampilkan karya seni kanak-kanak Gem Kids Brain Centre dan karya puisi dari English For Life Centre dalam usaha menggalakkan pembabitan generasi baru untuk mencintai haiwan unik ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 7:30 AM