JOHAN bersama karyanya yang dipamerkan di Galeri Media Prima.
JOHAN bersama karyanya yang dipamerkan di Galeri Media Prima.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Karya dihasilkannya sebelum ini lebih menjurus kepada konsep kontemporari atau ekspresi diri yang cukup mendalam menggunakan cat akrilik atau minyak di atas kanvas.

Tapi, kali ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) Johan Ishak membuat kelainan apabila memilih genre ‘pop art’ dalam pameran solo keduanya.

Pameran berjudul ‘Caricreatures’ adalah lukisan bermotifkan haiwan yang mewakili zodiak Cina dan sebahagiannya daripada mengimbau nama samaran rakannya ketika sekolah rendah.

Biarpun ringkas, kerja seni Johan sangat menarik kerana lukisan itu dihasilkan menggunakan pen stylus di telefon bimbit Samsung Note dan dipindahkan ke komputer sebelum dicetak ke kanvas.

ANTARA karakter haiwan dalam lukisan.
ANTARA karakter haiwan dalam lukisan.

Pengunjung juga pasti terpukau melihat kerja seni Johan kerana meskipun beliau tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang seni visual, kerana minat yang mendalam mendorongnya untuk ‘meneroka’ sendiri ilmu terbabit hingga namanya sebaris dengan pelukis ternama lain.

Sebanyak 80 lukisan itu boleh dihayati dalam pameran terbabit yang berlangsung dari 18 Julai hingga 10 Ogos ini di Galeri Media Prima, Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur.

Katanya, beliau beralih kepada lukisan digital kerana ingin mencuba sesuatu yang baru selain teknik itu mempunyai kelebihan seperti lebih mudah serta cepat siap berbanding konsep kontemporari.

IBU bapa Johan hadir pada Pameran ‘Caricreatures’.
IBU bapa Johan hadir pada Pameran ‘Caricreatures’.

“Saya menghasilkan lukisan ini pada 2016 dan 2017 sempena kelahiran anak lelaki ketiga. Karakter kartun begitu digemari kanak-kanak kerana mempunyai unsur hiburan, jenaka dan pengajaran,” katanya kepada Nuansa.

Beliau berkata, 60 lukisan berlatar belakangkan warna putih dan karakter haiwan berwarna-warni. Selebihnya karya yang berlatarbelakangkan warna hitam dan karakter haiwan berwarna putih serta hitam.

Dalam pada itu Johan berkata, pameran berkenaan turut menyasarkan untuk mengutip sumbangan bagi membantu golongan yang memerlukan.

KETUA Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima Seelan Paul (tengah) turut hadir.
KETUA Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima Seelan Paul (tengah) turut hadir.

“Kira-kira 14 peratus daripada setiap lukisan yang terjual akan disalurkan ke Tabung Bersamamu TV3 iaitu aktiviti kebajikan di bawah Tabung Kemanusiaan Media Prima.

“Ini sejajar dengan hasrat Media Prima dalam memperluaskan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu golongan memerlukan di samping menyediakan platform untuk pelukis muda dan lama mempamerkan karya seni mereka,” katanya.

PENGUNJUNG menghayati karya Johan.
PENGUNJUNG menghayati karya Johan.

CARICREATURES

• ARTIS: 1

• KARYA: 80

• TARIKH: 18 Julai hingga 10 Ogos 2018

• TEMPAT: Galeri Media Prima, Balai Berita, 31 Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur.

• MASA: 10 pagi hingga 6 petang.

• NO TELEFON: 03-27248300

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 1:38 PM