BAKTIAR menunjukkan sebuah karya yang dipamerkan dalam Pameran Seni Antarabangsa KL Biennale 2017 di Balai Seni Negara.
BAKTIAR menunjukkan sebuah karya yang dipamerkan dalam Pameran Seni Antarabangsa KL Biennale 2017 di Balai Seni Negara.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Pameran Seni Antarabangsa KL Biennale 2017 julung kalinya diadakan di negara ini.

Penganjurannya sekali gus mengangkat martabat pengkarya dan seni kontemporari tempatan bertaraf dunia.

Diadakan pada 1 November hingga 31 Mac 2018, pameran berkenaan disertai 119 pengkarya dengan 11 daripada mereka adalah pengkarya antarabangsa dari Bangladesh, Combodia, China, India, Indonesia, Japan, Palestin, Filipina, Singapura, Sweden dan Thailand.

Bertemakan Alami Belas, pameran utama diadakan Balai Seni Negara (BSN) dan beberapa lokasi pameran seperti Perpustakaan Negara, Pusat Darah Negara, Universiti Malaysia dan Rumah Waris Uwan.

PAMERAN Seni Antarabangsa KL Biennale 2017 berlangsung dari 1 November hingga 31 Mac 2018
PAMERAN Seni Antarabangsa KL Biennale 2017 berlangsung dari 1 November hingga 31 Mac 2018

Sebanyak 343 karya dipamerkan dalam Pameran Seni Antarabangsa KL Biennale 2017 itu menjadikan ia antara pameran seni terbesar diadakan di negara ini.

Kurator Pameran Seni Antarabangsa KL Biennale 2017 Baktiar Naim Jaafar berkata, menjawab kepada maksud satu daripada perkataan tema pameran berkenaan iaitu Belas, ia ditakrifkan sebagai satu perasaan simpati dan rasa kasih yang lahir daripada jiwa yang mempamerkan kasih sayang, keikhlasan serta kebahagiaan.

Beliau berkata, tema Alami Belas mengangkat isu sosial berkaitan reaksi dan interaksi manusia terhadap persekitaran.

“Kami dapati perasaan ‘belas’ dalam kalangan masyarakat hari ini sudah semakin luntur dan sebaliknya ramai lebih bersikap mementingkan diri.

“Ia satu perkembangan tidak sihat kerana akan mewujudkan suasana masyarakat tidak harmoni.

“Maka dalam pameran ini kita mahu menyuburkan lagi perasaan ‘belas’ (simpati, kasih sayang) menerusi penghayatan penonton terhadap karya yang dipamerkan,”katanya kepada Nuansa.

HASIL pengkarya dari Palestin.
HASIL pengkarya dari Palestin.

Katanya, terdapat lima kategori ‘belas’ dalam pameran itu iaitu Belas Alam, Belas Haiwan, Belas Insan, Belas Warisan dan Belas Kerohanian.

Baktiar berkata, karya bertajuk ‘Story of Love’ yang dilukis tiga kurator iaitu Tan Hui Koon, Eaizal Sidik dan beliau sendiri dijadikan sebagai asas ‘pemulihan jiwa’ dan berhasrat ‘menyentuh jiwa’ masyarakat untuk merasai satu getaran yang sama iaitu positif serta keprihatinan.

Katanya lagi, ini bertujuan supaya penonton dapat menghayati karya terbabit dan akhirnya terbentuk satu sikap peduli di antara satu sama lain.

Katanya, pameran berkenaan dianggap menarik kerana terdapat karya pelukis lama yang terlebih awal menggunakan tema Alami Belas dalam kerja seninya iaitu Allahyarham Syed Jamal bertajuk Jantung Hati.

Orang dijemput menyaksikan pameran berkenaan di BSN dan beberapa lokasi pameran lain secara percuma untuk mendapatkan pengalaman menarik serta berharga.

PENGUNJUNG menghayati karya seorang artis yang menyertai pameran berkenaan.
PENGUNJUNG menghayati karya seorang artis yang menyertai pameran berkenaan.

PAMERAN SENI ANTARABANGSA KL BIENNALE 2017

• ARTIS: 119

• KARYA: 343

• TARIKH: 1 November hingga 31 Mac 2018

• MASA: 10 pagi hingga 6 petang

• LOKASI: Balai Seni Negara, Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

• TELEFON: 03-4026 7000

• FACEBOOK: www.facebook.com\KLBiennale

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 11:07 AM