ARTIS Nurin Shaari, Pameran lukisan 'RONAisme' di Galeri Shah Alam Laman Budaya. FOTO Roslin Mat Tahir.
ARTIS Nurin Shaari, Pameran lukisan 'RONAisme' di Galeri Shah Alam Laman Budaya. FOTO Roslin Mat Tahir.
Nurul Husna Mahmud

MENJADI pengunjung yang hadir pada Pameran RONAisme di Galeri Shah Alam, Selangor baru-baru ini menerbitkan kegirangan apabila menyaksikan 70 karya daripada 27 artis yang dipenuhi warna-warni dan karakter humor.

Antara lukisan unik termasuk imej badak air mengenakan skirt mini merah jambu, ‘anak kampung’ sedang bermain, ikan dan arca yang menyerupai pelbagai karakter atau haiwan menarik.

Keindahan visual itu sebenarnya mengetengahkan aliran seni naif iaitu karya yang cenderung kepada perspektif keanak-anakan.

Konsep semua karya baik lukisan, arca mahupun seni pemasangan mudah ‘dicerna’ pengunjung kerana istilah ‘naif’ itu sendiri bermakna polos, lurus bendul dan tiada pengalaman.

SEBAHAGIAN artis tempatan yang menjayakan pameran RONAisme.
SEBAHAGIAN artis tempatan yang menjayakan pameran RONAisme.

Menurut Kurator Dr Rosli Zakaria, kebanyakan artis ini menguasai skil berdasarkan hasil pembelajaran sendiri tanpa mengikuti pembelajaran lukisan formal menyebabkan ramai dalam kumpulan pelukis menggelar diri mereka belajar sendiri.

“Biasanya mesej disampaikan artis dalam karya seni naif ini jelas dilihat dan diperkayakan dengan penggunaan warna yang terang, selain subjek dekat dengan kanak-kanak seperti haiwan, bangunan, kenderaan dan pokok.

“Kemudian diselitkan pula elemen jenaka yang nyata membuatkan karya ini dekat dengan masyarakat dan sesuai dalam konteks umum, maknanya dari kanak-kanak hinggalah ke usia senja tiada masalah untuk menerimanya.

“Umpamanya, tiga arca dalam imej figura individu yang diberi tajuk ‘Painter,’ ‘Print Maker’ dan ‘Sculptor’ adalah pekerjaan artis seni itu sendiri. Sekali imbas mereka sudah boleh agak apa imej atau cerita saya ingin kongsikan,” katanya.

Sementara itu Pereka Bentuk dan Pengasas Konsep RONAisme, Elly Nor Suria Md Zainudin berkata, usaha menggabungkan pelukis yang bergerak di bawah genre seni naif ini diharap menampilkan kelainan serta keunikan artis ada dalam aliran seni itu sendiri.

RAJA KAMARUL BAHRIN turut menyaksikan karya artis naif itu.
RAJA KAMARUL BAHRIN turut menyaksikan karya artis naif itu.

“Meskipun kami ini dalam kelompok pelukis yang belajar sendiri, kami mampu menonjol dengan gaya masing-masing dengan pelbagai medium dan kaedah. Ada artis yang menggunakan akrilik, kanvas, teknik campuran iaitu pelbagai teknik dalam satu karya dan juga pengukir atau pembuat arca.

“Menerusi platform ini, artis terbabit dapat melihat sendiri penerimaan peminat seni terhadap karya mereka. Malah karya naif ini boleh dijadikan pengenalan terbaik khususnya elemen budaya, warisan dan kerakyatan terhadap pelancong atau peminat seni antarabangsa,” katanya.

Pameran itu disempurnakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah.

PENGUNJUNG mengambil kesempatan merakam gambar lukisan.
PENGUNJUNG mengambil kesempatan merakam gambar lukisan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 12:00 PM