ARBAAYAH bersama lukisan siri tapir yang dipamerkan.
ARBAAYAH bersama lukisan siri tapir yang dipamerkan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Motif figura haiwan sering diketengahkan dalam karya seni pelukis ini. Sekali gus menonjolkan dirinya yang sarat dengan sifat kecintaan terhadap haiwan.

Ia bermula dengan lukisan bersiri motif haiwan sebelum ini antaranya badak, zirafah dan gajah.

Kali ini pelukis menampilkan tapir di dalam karya terbarunya.

Semua lukisan itu boleh dihayati dalam pameran Lukisan@Premiera di Coffee House, Hotel Premiera, Kuala Lumpur yang berlangsung dari 12 Februari hingga 30 Mac ini.

Pameran itu dirasmikan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Menariknya, pameran solo Arbaayah Mohamad Zain atau lebih dikenali Abby Zain itu mempamerkan 50 karya bergenre 'naive'.

Ia dihasilkan menggunakan medium akrilik atas kanvas.

ANTARA karya Arbaayah.
ANTARA karya Arbaayah.

Sekali gus membuktikan hasil seni Arbaayah sebagai pelukis berpengalaman mempunyai kelas tersendiri, unik dan boleh memukau penonton.

Arbaayah berkata, dalam siri tapir itu beliau turut menyelitkan unsur kesenian Melayu seperti tepak sirih dan corak batik pucuk rebung dalam lukisannya untuk mengajak pengunjung menilai serta cuba memahami mesej yang ingin disampaikan.

“Terdapat warna merah pada lukisan tapir membawa maksud berlaku satu peristiwa yang menyebabkan haiwan berkenaan ‘disalah erti.’

“Tapir adalah haiwan di negara ini yang jarang dilihat malahan ramai juga tidak mengetahui kewujudannya.

“Kadang-kadang dalam tempoh 10 tahun sekali pasti kedengaran kisah tapir mati dilanggar di jalan raya atau lebuh raya,” katanya.

LUKISAN Arbaayah bertajuk Apa Salahku sarat dengan mesej memupuk kecintaan terhadap haiwan.
LUKISAN Arbaayah bertajuk Apa Salahku sarat dengan mesej memupuk kecintaan terhadap haiwan.

Insiden itu akan menimbulkan persoalan adakah haiwan berkenaan tidak dipedulikan mana-mana pihak?

“Pada pandangan saya, satu pendekatan perlu diambil bagi membela haiwan ini dan menggunakan medium ini (lukisan) bagi menyampaikan mesej prihatin terhadap tapir.

“Tapir adalah spesies hampir pupus yang memerlukan pembelaan bagi memastikan haiwan ini dapat hidup lebih lama,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Premiera Kamarudin Kassin berkata, pameran itu adalah kerjasama antara hotel berkenaan dengan Syarikat MAC Training Centre Sdn Berhad.

“Idea pameran ini tercetus apabila melihat ruang kosong pada dinding di Coffee House Hotel Premiera yang jika dimanfaatkan boleh memberikan ketenangan melalui lukisan dipamerkan.

“Selain muzik, lukisan juga mempunyai pengaruh besar sebagai salah satu ejen mengurangkan tekanan menerusi auranya,” katanya.

Katanya, pameran itu juga sebagai usaha murni merakyatkan seni dan budaya yang berkait rapat dengan warisan Melayu serta pembangunan negara.

PENGUNJUNG menghayati lukisan yang dipamerkan dalam Pameran Lukisan@Premiera.
PENGUNJUNG menghayati lukisan yang dipamerkan dalam Pameran Lukisan@Premiera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 7:03 AM