Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seorang penganggur berusia 37 tahun ditahan pada 3.30 pagi semalam bagi membantu siasatan kes penghinaan keluarga kerabat Diraja Johor menerusi kenyataan yang dimuatnaik di laman sosial Facebook (FB), baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, lelaki berkenaan ditahan di kediamannya di Larkin Jaya, Larkin di sini.

Beliau berkata, tangkapan itu susulan daripada aduan diterima oleh pihaknya daripada seorang pengadu lelaki berusia 31 tahun pada 7 Disember lalu.

Menurutnya,aduan berkenaan berkaitan seorang lelaki yang didakwa memuat naik beberapa kenyataan berbaur penghinaan terhadap keluarga kerabat di FB.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1984 dan sekiranya disabit kesalahan boleh dikenakan denda RM2,000 atau penjara tidak melebihi 18 bulan atau kedua-dua sekali," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 1:32 PM