Seorang buruh berusia 43 tahun direman selepas disyaki memuat naik kenyataan jelik terhadap Sultan Johor di laman sosial, Facebook (fb).
Seorang buruh berusia 43 tahun direman selepas disyaki memuat naik kenyataan jelik terhadap Sultan Johor di laman sosial, Facebook (fb).
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini mengeluarkan perintah reman selama tiga hari terhadap seorang buruh berusia 43 tahun yang disyaki memuat naik kenyataan jelik terhadap Sultan Johor di laman sosial, Facebook (fb).

Perintah reman bermula hari ini hingga 20 Januari dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru Norhidayah Abd Manaf.

Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ia juga susulan tindakan polis Johor menahan lelaki berkenaan di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, malam tadi kerana disyaki memuat naik kenyataan jelik terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di laman FB pada 16 Januari.

Lelaki itu ditahan di kediamannya oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul. 

Polis turut merampas telefon bimbit bersama kad Modul Pengenalan Pengguna (SIM) dipercayai digunakan suspek bagi membuat kenyataan jelik terhadap Sultan Johor. 

Sekiranya disabit kesalahan dia boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya selain boleh didenda selanjutnya bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 4:41 PM