FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Datuk Mohd Ajib Ismail

Umat Islam kini menuju minggu terakhir Syawal yang masih berbaki. Penganjuran majlis jamuan Aidilfitri masih rancak dianjurkan di sana sini.

Sama ada saban tahun kemeriahannya masih dirasai atau tidak, hari raya hakikatnya bukanlah sekadar acara tradisi yang dihiasi pakaian baharu berwarna-warni, percikan bunga api dan aneka juadah menambat hati, tetapi ibadah yang disyariatkan ke atas umat Islam.

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Riwayat Imam Ahmad)

Dalam meraikan hari raya, perkara paling asas ialah umat Islam mestilah terlebih dahulu menghayati maksud dan falsafah sebenar di sebalik ketibaan Aidilfitri. Aidilfitri adalah hari yang dianugerahkan oleh Allah SWT bagi umat Islam menyambut kemenangan setelah berjaya mengawal hawa nafsu daripada segala perbuatan dilarang syariat sepanjang Ramadan sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: "(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur."

Justeru sambutan Aidilfitri tidak sepatutnya dicemari dengan perbuatan yang bercanggah dengan syariat misalnya amalan pembaziran dan berbelanja tidak berpatutan. Sebaliknya sambutan Aidilfitri mestilah dizahirkan dengan perasaan gembira dan bersyukur melalui amalan bertakbir, bertasbih dan bertahmid membesarkan Allah SWT serta meraikannya secara bersederhana. Perkara yang lebih utama adalah untuk mengekalkan momentum ibadah Ramadan pada bulan lain serta berusaha untuk menggembirakan ahli keluarga, sanak-saudara dan golongan yang memerlukan sekadar kemampuan.

Tradisi kunjung-mengunjung dan acara rumah terbuka Aidilfitri menjadi budaya yang memeriahkan suasana sambutan hari raya. Penganjuran acara rumah terbuka daripada sudut pandangan Islam mengandungi beberapa amalan mulia seperti menghidangkan pelbagai juadah, mengeratkan hubungan silaturahim, saling menziarahi, menghulurkan sedekah, memuliakan dan meraikan tetamu. Dalam hal memberikan makanan kepada orang lain, perkara itu dianggap sebagai amalan sedekah yang dituntut oleh agama sebagaimana hadis diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru RA bercerita, bahawasanya ada seorang lelaki bertanya Nabi Muhammad SAW: "Apakah amalan paling baik dalam Islam? Beliau menjawab: 'Engkau memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenal mahupun kepada orang yang tidak engkau kenal.'" (Riwayat al-Bukhari)

Namun antara perkara yang perlu diingatkan kepada semua pihak terutama ketika melakukan amalan kunjung-mengunjung sempena hari raya adalah memelihara adab sebagai tetamu. Ajaran Islam menetapkan garis panduan ketika bertamu ke rumah orang lain seperti memilih waktu sesuai, jangan berada terlalu lama di rumah, menjaga perbualan dan tutur kata agar tidak menyinggung perasaan, tidak berebut-rebut makanan dan tamak serta menjaga tatasusila ketika berada di rumah yang dikunjungi.

Perkara paling asas yang disyariatkan oleh ajaran Islam dalam adab bertamu adalah meminta keizinan tuan rumah terlebih dahulu apatah lagi untuk melakukan sebarang perbuatan lain di dalam rumah itu. Firman Allah SWT dalam al-Quran Surah an-Nur ayat 27 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu)."

Justeru dalam isu tersebut, tanggungjawab untuk mengawal tingkah laku anak dan menegur perbuatan yang tidak bersesuaian terutama ketika berkunjung ke rumah orang lain terletak pada ibu bapa dan penjaga masing-masing. Jika perbuatan itu tidak terkawal sehingga menyebabkan terpaksa ditegur oleh tuan rumah sendiri, gunakanlah kaedah yang bersesuaian agar tidak menimbulkan kekeruhan dalam suasana saling bermaafan dan keharmonian pada hari raya.

Aidilfitri adalah hari bergembira untuk seluruh umat Islam. Amalan ziarah-menziarahi, menjamu makan, bermaaf-maafan dan bertukar-tukar hadiah sepanjang Syawal adalah harus hukumnya. Ia hanyalah sekadar suatu tradisi yang diamalkan demi mengambil keberkatan sepanjang Syawal yang mulia. Oleh itu marilah kita bersama-sama mengambil kesempatan itu untuk kembali menyatukan hati serta menyuburkan perasaan saling mencintai dan menyayangi dalam segenap lapisan masyarakat.

Selain itu, dalam kesibukan meraikan atau menganjurkan acara rumah terbuka, puasa sunat enam hari pada Syawal jangan pula dilupakan pada penghujung bulan yang masih berbaki ini. Rasulullah SAW mengingatkan dalam sebuah hadis tentang kelebihan amalan itu dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Barangsiapa yang berpuasa pada Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari pada Syawal, ia bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun." (Riwayat Muslim)

Di Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada tahun ini mengambil inisiatif untuk menganjurkan Majlis Ramah Mesra Masjid dan Surau Jumaat Jawi di Dataran Merdeka pada Sabtu 4 Mei 2024 yang menghimpunkan masjid serta surau Jumaat bagi menyediakan gerai pelbagai jenis juadah untuk disajikan kepada masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa, budaya dan agama. Penganjuran program itu diharapkan dapat menjalin silaturahim dalam kalangan masyarakat khususnya sekitar Wilayah Persekutuan, membentuk semangat kerjasama dan persaudaraan dalam kalangan Jawatankuasa Masjid di Wilayah Persekutuan, menyemai sifat cakna dan prihatin terhadap golongan kurang berkemampuan, memasyarakatkan serta mempromosikan masjid di Wilayah Persekutuan sebagai pusat perpaduan dan penyatuan ummah. Selain itu, khidmat lebih 100 orang sukarelawan juga disediakan untuk menyampaikan penerangan tentang keindahan ajaran Islam kepada pengunjung yang hadir sebagai salah satu bentuk 'dakwah bilhal.'

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 9:57 AM