KWSP
KWSP
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Seramai 52,442 penjawat awam akan terbabit dalam penstrukturan semula akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula 11 Mei ini.

Berikutan itu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berharap dengan insiatif murni yang dilakukan oleh Kementerian Kewangan dan KWSP itu mampu menjaga kesejahteraan rakyat seiring dengan semangan Madani.

"Kepada penjawat awam yang bercarum, KWSP sudah menstrukturkan semula Akaun KWSP yang akan berkuat kuasa 11 Mei ini, untuk makluman Akaun Persaraan (Akaun 1) kini dinaikkan kepada 75 peratus dan ia sangat penting manakala untuk Akaun Sejahtera (Akaun 2) dikurangkan kepada 15 peratus iaitu mengikut keperluan.

"Akaun Fleksibel (Akaun 3) pula diwujudkan dengan caruman 10 peratus dan ia boleh digunakan sekiranya terdesak atau pun kecemasan," katanya dalam ciapan di aplikasi X.

Sebelum ini, KWSP mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP dengan semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Akaun Persaraan untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan, Akaun Sejahtera bagi menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan serta Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek.

Simpanan dalam Akaun Fleksibel itu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.

Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Pada 13 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan Madani 2024 memaklumkan akaun ahli KWSP akan distruktur semula bagi memperkasakan simpanan persaraan.

Katanya, itu adalah antara tumpuan kerajaan dalam Belanjawan Madani 2024 dalam menambah baik perlindungan sosial golongan tumpuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 9:18 AM