PAPARAN video tular dua lelaki menyerang dan melakukan provokasi terhadap suspek hina Agong di Facebook. FOTO Tular
PAPARAN video tular dua lelaki menyerang dan melakukan provokasi terhadap suspek hina Agong di Facebook. FOTO Tular
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


DUA lelaki dipercayai terbabit melakukan ugutan jenayah ke atas peniaga yang didakwa meninggalkan komen menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah di Facebook (FB), dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, dua suspek berusia 32 dan 36 tahun berkenaan dibebaskan semalam selepas keterangan mereka di ambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

“Selepas ambil keterangan mereka, kita bebaskan dengan jaminan polis. Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi, di Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian kelmarin, dua suspek terbabit dikatakan pergi ke premis perniagaan peniaga berusia 45 tahun itu dan melakukan provokasi selepas tidak berpuas hati dengan tindakan peniaga berkenaan meninggalkan komen berunsur penghinaan pada gambar Al-Sultan Abdullah di FB.

Ekoran itu, suspek ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Sementara itu, Mohd Zakaria berkata, peniaga terbabit yang turut ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung komen yang berunsur penghinaan ditinggalkannya di FB turut dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, peniaga berkenaan dibebaskan selepas keterangannya diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam.

Khamis lalu, suspek dikatakan meninggalkan komen dengan kenyataan menghina iaitu “muka macam ‘end of the World’ hihi” ke atas gambar Al-Sultan Abdullah sebelum ia tular di FB.

Susulan itu suspek ditahan di sekitar Kuantan sebelum dibawa ke IPD Temerloh.

Ditanya mengenai laporan polis yang dibuat ke atas pemilik akaun FB ‘Desmond Yongkor’ yang bertindak kurang ajar dengan memuat naik kata-kata yang menghina Yang di-Pertuan Agong ketika Istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan, Khamis lalu, Mohd Zakaria berkata, siasatan kini diserahkan kepada Bukit Aman.

“Siasatan akan dilakukan Unit Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ke atas laporan polis yang diterima,” katanya.

Harian Metro difahamkan lebih 100 laporan polis dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan dan parti politik di seluruh negara sejak kelmarin yang menggesa siasatan dilakukan ke atas tindakan biadap individu terbabit.

Berita berkaitan

Polis Pahang terima laporan individu hina Agong

2 suspek ugut lelaki hina Agong ditahan

[UPDATE] Hina Agong, sekejap je polis cekup dah...

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 11:35 AM