Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Lelaki ditahan polis di Bandar Indera Mahkota, Pahang, awal pagi tadi, kerana disyaki menghina Institusi Diraja Johor dan pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dalam laman sosial Facebook (FB).

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, suspek berusia 40-an itu ditahan pada 2.40 pagi oleh pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Jabatan Siasatan Jenayah, D9 IPK Pahang.

"Suspek ditahan selepas disyaki mengeluarkan kata-kata bersifat jelik yang berbentuk penghinaan terhadap Institusi Diraja Johor dan pasukan bola sepak Johor DT dalam laman FB yang dikenali sebagai 'The Elephant Skull'.

"Kita turut merampas dua komputer riba dan sebuah telefon bimbit," katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 1:54 PM