ANGE Postecoglou (kanan) mahu barisan pemainnya pamer corak menyerang. FOTO AFP
ANGE Postecoglou (kanan) mahu barisan pemainnya pamer corak menyerang. FOTO AFP
AFP

London: Ange Postecoglou menegaskan Tottenham akan berpegang kepada falsafah menyerang dalam perlawanan derby London utara yang penting esok menentang pendahulu Liga Perdana, Arsenal.

Skuad kendalian Postecoglou tidak boleh tewas kepada musuh ketat mereka di Stadium Tottenham Hotspur kerana mereka cuba untuk kekal dalam perlumbaan layak beraksi ke Liga Juara-Juara.

Postecoglou sedar hanya kemenangan akan memastikan peluang mereka untuk menamatkan saingan di kedudukan empat teratas.

Untuk itu, pengendali dari Australia itu tidak berminat menyaksikan pemainnya beraksi secara bertahan, walaupun Arsenal membuktikan kehebatan menyerang mereka ketika menewaskan Chelsea 5-0.

"Dari perspektif kami, kami tidak konsisten dan berdepan cabaran tahun ini, tetapi apabila kami bermain dengan baik, kami beraksi dengan corak permainan tertentu.

"Tiada gunanya apabila anda sudah sampai ke peringkat paling penting pada tahun ini, anda mengubah pendekatan anda.

"Anda perlu menggandakannya dan fokus untuk bermain cara tersendiri. Itu adalah langkah yang bagus untuk kami kerana jika tidak, anda tidak akan tahu di mana kekurangan anda atau sama ada anda boleh berjaya melakukannya dengan cara tersendiri," katanya.

Postecoglou sedar kemenangan Tottenham akan memberi tamparan hebat kepada usaha Arsenal untuk memenangi kejuaraan liga buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.

"Kami memahami kepentingan beraksi di tempat sendiri untuk tidak membiarkan pesaing utama kami menang dalam derby terbesar ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 9:45 AM