WIJNALDUM (kanan) bantu Newcastle catat kemenangan pertama musim ini.
WIJNALDUM (kanan) bantu Newcastle catat kemenangan pertama musim ini.
AFP

Newcastle, England: Georginio Wijnaldum meledak empat gol ketika Newcastle United membenam Norwich City 6-2 di St James’ Park kelmarin sekali gus meraih kemenangan pertama mereka pada Liga Perdana Inggeris musim ini.

Wijnaldum antara pemain Belanda yang gagal melayakkan diri ke Euro 2016 awal minggu lalu namun dia melupakan kekecewaan itu dengan empat gol yang mengendurkan tekanan buat pengurus Newcastle, Steve McClaren.

Ayoze Perez dan Aleksandar Mitrovic turut menjaringkan gol manakala Moussa Sissoko memainkan peranan mencipta empat gol ketika Newcastle akhirnya menang dalam liga selepas sembilan percubaan menjelang pertembungan jiran setempat hujung minggu ini menentang Sunderland, yang menggantikan mereka di tangga tercorot.

“Saya fikir empat penyerang kami amat cemerlang, terutamanya ‘Gini’,” kata McClaren.

“Saya amat gembira bagi setiap orang di kelab ini. Kami perlu bersabar, terutamanya penyokong.”

Wijnaldum berkata: “Sudah tentu kami perlukan kemenangan ini. Kami bermain beberapa perlawanan dengan baik, tapi akhirnya hanya meraih satu mata.

“Setiap hari kami bekerja keras untuk meraih keputusan seperti hari ini.”

Norwich ketinggalan 2-3 pada rehat babak pertama, selepas menyumbat gol menerusi Dieumerci Mbokani, yang melakukan penampilan sulung liga dan Nathan Redmond, yang turut terkena palang pada babak kedua.

Namun di sebalik permulaan baik pada babak kedua mereka akhirnya kecundang, menyebabkan pasukan kendalian Alex Neil itu hanya tiga mata di atas zon penyingkiran di tangga ke-16.

“Tidak pernah bagus apabila anda dibolosi enam gol,” kata Neil. “Kami perlu bangkit dan memastikan bertahan dengan lebih baik bagi perlawanan kami berikutnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 7:17 AM