REAKSI Ronaldo selepas tamat perlawanan. FOTO AP
REAKSI Ronaldo selepas tamat perlawanan. FOTO AP
Agensi

London: Cristiano Ronaldo menolak permintaan penolong jurulatih Erik ten Hag, Steve McClaren untuk memberikan penghargaan kepada penyokong Manchester United selepas kekalahan memalukan 0-4 di Brentford, awal pagi tadi.

Empat gol dalam tempoh 25 minit separuh masa pertama daripada Josh Dasilva, Mathias Jensen, Ben Mee dan Bryan Mbuemo menyebabkan United gagal untuk bangkit semula.

Ia adalah kekalahan memalukan bagi United, yang kini tewas setiap perlawanan pembukaan Liga Perdana mereka.

Satu-satunya perkara positif dari sudut pandangan kelab adalah peminat yang terus memberikan sokongan kepada pemain sepanjang perlawanan walaupun akhirnya mereka tewas.

Beberapa pemain United seperti David De Gea, Scott McTominay, Anthony Elanga, Marcus Rashford, Bruno Fernandes, Donny Van de Beek dan Diogo Dalot pergi menemui penyokong United yang masih berada di stadium untuk memohon maaf berikutan prestasi hambar mereka.

Bagaimanapun, seorang pemain tidak hadir menemui penyokong iaitu Ronaldo meskipun diminta oleh pembantu Ten Hag, McClaren.

Menurut laporan Manchester Evening News, kedua-duanya dilihat berbual seketika sebelum Ronaldo terus masuk ke terowong.

Kapten kelab United, Harry Maguire juga tidak menemui penyokong sebaliknya sekadar memberi tepukan sebelum mengikut Ronaldo menuruni terowong dan keluar padang.

Ronaldo berdepan kritikan beberapa kali musim lalu apabila dia tidak menemui penyokong United semasa perlawanan di tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 9:07 PM