AGUERO ledak gol ke-100  Liga Perdana dalam aksi menentang Newcastle, semalam.
AGUERO ledak gol ke-100 Liga Perdana dalam aksi menentang Newcastle, semalam.
AFP

Newcastle, England: Gol ke-100 Sergio Aguero dalam Liga Perdana Inggeris tidak cukup membantu kemenangan Manchester City apabila mereka dipaksa seri 1-1 dengan pasukan diancam penyingkiran Newcastle United, awal pagi semalam.

Aguero, penjaring terbanyak City, meraih gol bermakna itu selepas 14 minit, namun anak buah Manuel Pellegrini gagal mengekalkan kedudukan itu apabila pemain kebangsaan Belanda Vurnon Anita menyumbat gol pada minit ke-31, sekali gus gol pertamanya dalam tempoh lebih dua tahun bagi membantu pasukan kendalian Rafael Benitez berkongsi mata.

City kekal di tangga ketiga, satu mata di depan Arsenal dan lima mata berbanding Manchester United, ketinggalan di belakang pendahulu Leicester City dengan 12 mata.

“Saya gembira,” ujar pengurus City Pellegrini. “Kami kembali mendahului perlawanan, tapi kami tidak boleh mengawal selepas itu. Kami sedar ia amat sukar. Kami hanya cuba menambah mata.”

Keputusan seri menyaksikan Newcastle dua mata berbanding zon selamat, namun mereka menaruh harapan untuk kekal jika mampu mengulangi tahap persembahan sebegitu bagi baki empat perlawanan terakhir musim.

Newcastle terhutang budi dengan persembahan kental Karl Darlow, penjaga gol ketiga mereka, yang berjaya menyelamatkan percubaan berbahaya Jesus Navas, Aguero dan Kevin De Bruyne pada babak kedua.

Tuan rumah sepatutnya boleh menang pada saat akhir apabila sepakan pemain gantian Georginio Wijnaldum dari jarak dekat dihadang penjaga gol City Joe Hart.

City, yang menurunkan semula kapten Vincent Kompany selepas sebulan diketepikan kerana kecederaan betis, mendahului pada minit ke-14 sekalipun tuan rumah mendakwa gol itu tidak sepatutnya dibenarkan.

Selepas dia dikasari Andros Townsend, Aleksandar Kolarov melencongkan sepakan percuma ke arah pintu gol Newcastle dari sebelah kiri.

Pegawai perlawanan terlepas pandang Aguero kembali dari kedudukan ofsaid ketika sepakan percuma itu diambil dan penyerang Argentina itu menanduk masuk melepasi jangkauan Darlow dari jarak lima meter.

Aguero hanya memerlukan 147 perlawanan untuk menyumbat 100 gol Liga Perdana tatkala Alan Shearer, yang berada di St James’ Park sebagai pengulas radio BBC, melakar rekod itu lebih pantas dalam 124 penampilan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 7:34 AM