London: Newcastle melengkapkan pembelian pertahanan Anderlecht, Chancel Mbemba (gambar), umum kelab Liga Perdana itu kelmarin.

Magpies bersetuju secara asasnya dengan kelab Belgium, Anderlecht hujung minggu lalu namun Mbemba gagal melengkapkan perpindahannya kerana masalah sijil perpindahan belum diselesaikan.

Pemain kebangsaan DR Congo berusia 20 tahun itu kini diberi kebenaran selepas pendengaran kes panel Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris kelmarin dan boleh memulakan kariernya di Newcastle sebaik menerima visa.

Mbemba muncul pembelian ketiga Newcastle pada musim panas ini dengan ketua jurulatih Steve McClaren berusaha menyelesaikan masalah itu supaya dia boleh diturunkan bagi perlawanan pembukaan Liga Perdana menentang Southampton pada 9 Ogos ini.

“Kami gembira Chancel kini pemain Newcastle United selepas mengambil masa agak lama daripada yang kami jangkakan,” kata McClaren.

“Dia terbukti seorang pemain bertaraf dunia, bertenaga, kuat dan akan menambah kualiti kepada pertahanan kami. Kami akan menyerapkannya ke dalam skuad sepantas mungkin.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:08 AM