Oleh Norhayati Nordin


Bakat lakonannya memang hebat. Berikanlah apa saja watak, pasti dia akan membuatkan penonton berpuas hati. Itulah Nabila Huda, 31, yang turut mewarirs bakat seni bapanya, Amy Search.

Ibu tunggal seorang anak, Keisha Laila, 5, ini nyata anak seni berkaliber dan sangat komited dalam kariernya sebagai pelakon.

Lakonan mantap dan berkesan Nabila dalam super telefilem biopic Saloma arahan Melissa Saila berjaya membuktikan betapa dia serius terhadap hasil kerjanya.

Terbaru, Nabila menjadi pilihan untuk watak Hayati adaptasi novel popular karya penulis ternama Indonesia, Hamka iaitu Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Ia bakal dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada 12 hingga 18 Oktober nanti.

Nabila atau Abil akui 2015 memberi banyak peluang baru kepadanya untuk berkarya. Menjayakan teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck disifatkan rezeki yang tidak pernah diduganya.

“Memang kini saya kurang muncul dalam majlis hiburan tetapi tawaran buat saya masih ada. Saya juga melihat graf perkembangan karier seni untuk 2015 sangat positif kerana memperoleh peluang baru dan tawaran watak sangat bagus untuk dilakonkan.

“Selain peluang beraksi untuk watak utama di pentas teater berprestij seperti IB, saya juga buat kali pertama diberi kepercayaan sebagai pengacara untuk program realiti kembara, Awak Kat Mana? yang kini disiarkan Astro.

“Alhamdulillah, nampaknya diterima baik peminat dan mereka suka cara saya,” katanya.

Kata Nabila, apa pun tanggungjawab digalasnya dia sentiasa nekad memberikan yang terbaik kerana karier dalam seni adalah sumber pendapatannya.

“Saya sentiasa yakin pada kemampuan diri apabila menerima sesuatu tawaran kerja sama ada berlakon atau mengacara. Bagi saya, lakukan yang terbaik.

“Selain itu, saya juga enggan memikirkan bagaimana tanggapan orang kerana dalam diri saya sentiasa yakin sudah buat terbaik mengikut kehendak pengarah,” katanya.

Nabila berkata, dia suka berbincang dengan pengarah termasuk mengikut apa terlintas dibayangannya untuk watak dilakonkan.

Mengakui selesa mengikut cara lakonan sendiri, Nabila berkata apa yang pasti dia sangat berharap mendapat lawan lakon yang serasi untuk bekerjasama.

Apabila beraksi di samping pelakon yang tidak ‘memberi’ seperti diharapkan, Nabila lebih selesa bersikap positif. Katanya, bukan caranya memandang rendah pada bakat orang lain termasuk cuba membunuh karakter mereka tetapi lebih suka memberi fokus pada watak sendiri.

Nabila juga akui hingga kini dia tetap tidak bersikap ‘diva’ atau berlagak bagus di lokasi penggambaran meskipun sudah berlakon sejak usia belasan tahun.

“Saya selalunya memberi ruang untuk belajar dan memahami karakter mahu dilakonkan. Bahkan, saya juga bersikap ramah dengan orang lain.

“Apapun, dalam lakonan saya suka melakonkan watak berat yang membolehkan saya mewarnakan karakter itu dengan kepelbagaian emosi.

“Bagi saya, apabila tidak terikat dengan hanya satu tuntutan kerakter, lakonan dipersembahkan lebih meninggalkan kesan buat penonton,” katanya.

Mengenai watak Hayati untuk Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Nabila berkata buat masa sekarang dia dalam proses mengingat dialog dan mengenal pasti tuntutan sebenar karakter itu.

Nabila yang terserlah sebagai watak antagonis juga memberitahu, apa pun mengikut kefahaman dirinya watak Hayati digalas itu besar cabarannya.

Dia juga sudah membaca sebahagian jalan cerita novel tetapi enggan menonton filem yang dihasilkan kerana bimbang akan mengikut cara lakonan orang lain.

“Saya selesa berlakon mengikut cara sendiri. Apa pun, saya sebenarnya sangat kagum dengan cara lakonan dipersembahkan Datin Paduka Umie Aida.

“Saya melihat Umie Aida sebagai pelakon wanita yang hebat. Berilah apa saja watak kepadanya, dia pasti memberikan lakonan terbaik.

“Melihat Umie Aida berlakon, saya sangat kagum. Beliau menjadi inspirasi kepada saya supaya berlakon kerana minat dan bukan mengejar populariti semata-mata,” katanya.

Mengakui sudah tiga bulan berehat daripada lakonan, Nabila kini lebih memberi tumpuan kepada anaknya yang sudah bersekolah.

Bagaimanapun, Nabila kini mula sibuk di lokasi penggambaran drama Balqis arahan Erma Fatima yang diakui bukan calang-calang watak dilakonkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:02 AM