NABILA teruja mengacara Awak Kat Mana.
NABILA teruja mengacara Awak Kat Mana.
Syanty Octavia Amry


Suka melihat negara orang dan berharap dapat mengelilingi dunia antara sebab mengapa pelakon Nabila Huda menerima tawaran mengacara program travelog berbentuk pertandingan, Awak Kat Mana.

Dia yang pertama kali menjadi pengacara program seumpama itu terpilih selepas menghadiri uji bakat.

Berpeluang menjelajah 13 negara Eropah, Nabila gembira apabila beberapa destinasi yang belum pernah dikunjungi menjadi antara lokasi pertandingan.

“Saya gembira apabila terpilih mengacara program ini. Walaupun diberitahu akan menjalani penggambaran di Eropah, produksi tidak memaklumkan lokasi sebenar.

“Kebetulan ketika ditawarkan saya tiada penggambaran. Rakaman program ini mengambil masa selama 40 hari.

“Kami bergerak dari satu negara ke negara lain dengan menaiki kereta, tetapi tidak diberitahu ke mana dan ha­nya tahu apabila sudah sampai di destinasi.

“Lebih menarik apabila Romania, Vienna, Budapest, Bordeaux dan Bratislava yang belum pernah saya kunjungi turut menjadi lokasi penggambaran,” katanya.

Nabila mengakui teruja kerana dalam pada sibuk menjayakan progam ini dia sempat bersiar-siar melihat pemandangan setiap negara.

“Kami akan berkampung selama empat hari di setiap lokasi. Satu hari adalah waktu bebas dan saya manfaatkan dengan bersiar-siar. Jika terlampau penat saya berehat saja di apartmen,” katanya.

Awak Kat Mana yang menampilkan 26 selebriti bakal bersiaran di saluran Astro Ria dan Ria HD bermula 13 Ogos ini.

Mengulas perkembangan karier lakonan, Nabila berkata selepas tiga bulan berehat dia akan terikat dengan penggambaran drama bersiri Akulah Balqis yang sebelum ini pernah disiarkan dalam bentuk telefilem.

Selain itu, dia akan sibuk dengan latihan teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck September ini.

“Bagi yang pernah menonton telefilem Balqis pasti tahu watak saya dalam cerita ini sangat berat. Selepas drama ini saya akan terbabit dengan pementasan teater yang akan dipentaskan pada Oktober nanti.

“Saya teruja apabila kali pertama berpeluang menghidupkan watak utama di pentas teater. Sebelum ini hanya watak kecil saja.

“Saya sudah menonton filem ini dan apabila orang sudah beri kepercayaan saya akan melakukan yang terbaik,” katanya yang memegang watak Hayati dan bergandingan dengan Amar Baharin.

Selain itu, Nabila bakal ke Amsterdam pada November depan bagi menjalani penggambaran drama Tertinggal Di Amsterdam.

Dia turut rancak menghasilkan produk gincu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 9:54 AM