ZAINUDDIN kecewa apabila Hayati memilih berkahwin dengan Aziz.
ZAINUDDIN kecewa apabila Hayati memilih berkahwin dengan Aziz.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Cabaran malam pertama pementasan teater Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, malam kelmarin di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur berjaya dilalui dengan baik semua pelakon.

Namun, barisan pelakon utamanya seperti Nabila Huda, Amar Baharin, Syarul Ridzwan, Amyra Rosli, Karl Shafek, Rasdi Daud dan Bohari Ibrahim dilihat lebih berhati-hati dalam lakonan mereka.

Mungkin disebabkan belum serasi sepenuhnya de­ngan set pementasan sebenar menjadikan pergerakan mereka agak terhad.

Apapun karya arahan Azhar Zainal yang diangkat daripada naskhah tulisan Profesor Dr Hamka ternyata berjaya menyuntik emosi terutama buat mereka yang menghayati novel serta filem ini.

Tenggelamnya Kapal Van der Wijck sarat dengan permainan emosi membabitkan pemain watak utama Nabila sebagai Hayati dan Amar sebagai Zainuddin yang kemudian menukar nama sebagai Shabil kerana mahu membuang kenangan pahit bersama Hayati.

Pentas yang besar digunakan sebaik mungkin oleh koreografer A Aris Kadir bagi menampilkan gerak tari menarik, manakala Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah menggunakan pengalamannya dengan menghasilkan muzik yang meninggalkan kesan kepada penonton.

Elemen muzik yang ditampilkan terutama ketika babak Hayati dipaksa berkahwin dengan Aziz (Karl Shafek) sudah cukup menggegarkan sukma penonton sehingga ada yang mengalirkan air mata.

Meskipun setia terhadap Zainuddin, Hayati yang dibesarkan dengan adat Minangkabau yang tebal terpaksa menerima pilihan keluarga yang menjodoh­kannya de­ngan Aziz kerana setaraf.

Pinangan Zainuddin pula ditolak mentah-mentah kerana dia anak yatim piatu dan miskin. Zainuddin tidak diterima sebagai kaum Minang walaupun bapanya berasal dari tanah Minang­kabau kerana berkahwin dengan wanita Bugis.

Tiada cacat celanya pementasan ini kerana segala-galanya sudah cukup sempurna termasuk skrip yang cukup indah bahasanya.

Bagaimanapun, kelihatan jurang agak ketara pada lakonan Nabila dan Amar terutama pada segmen pertama.

Memasuki segmen kedua, Amar dilihat sudah berjaya mendapat rentak dan menguasai karakter Zainuddin dengan baik.

Sikap penonton yang ketawa pada babak yang sepatutnya membuai emosi juga dilihat agak menjengkelkan dan sedikit sebanyak mengganggu mood pelakon.

Nabila yang ditemui berkata, dia berpuas hati dengan apa yang diberikan kepada penonton.

“Ini sebuah cerita yang menyayat hati. Saya faham naskhahnya dan membawakan watak dengan baik. Pada saya Amar juga memberikan lakonan yang baik.

“Kami lakukan latihan bersama-sama dan berjaya membentuk keserasian. Bahkan saya juga tiada masalah untuk serasi dengan semua pelakon teater ini.

“Saya juga tidak berdepan masalah mendapatkan tenaga untuk pementasan selama dua jam ini kerana ia datang sendiri,” katanya yang mengakui masih gugup pada persembahan pertama.

Amar pula bersedia menerima kritikan dan berjanji akan memperbaiki kekurangan dalam lakonannya.

“Saya di atas pentas dan tak tahu pandangan orang di bawah. Saya akui agak kekok kerana ini pertama kali kami beraksi di set sebenar. Kalau diikutkan apa yang saya buat ini sudah dilihat dah dipersetujui pengarah.

“Apapun setiap orang ada pandangan masing-masing dan saya terima dengan positif. Saya akan berbincang dengan pengarah untuk memperbaiki apa yang perlu,” katanya yang mengakui berhati-hati daripada melakukan kesilapan kerana bimbang diketawakan penonton.

Pementasan terbitan CTRA Production dan GenSem dengan kerjasama Istana Budaya ini akan berlangsung sehingga Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 7:39 AM