Oleh Rudy Imran Shamsudin


Gara-gara menegur kembali dramatis Izreen Azminda yang memberi komen mengenai dalam teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, pelakon kacak Amar Baharin dilabel artis tidak boleh terima kritikan.

Sedangkan sebelum ini, ketika sidang akhbar teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang dipentaskan di Istana Budaya, Oktober lalu, Amar menjelaskan dia hanya terima kritikan daripada mereka yang sudah menontonnya.

Izreen yang kebetulan datang menonton, memuat naik kritikan dibuat mengenai karya itu secara keseluruhan termasuk lakonan Amar yang memegang watak utama Zainuddin, disifatkan kurang mantap terutama dari sudut penghayatan.

Perkara itu berlarutan apabila kedua-dua pelakon yang pernah digosipkan bercinta berbalas kenyataan membabitkan tindakan dibuat.

Bertemu Amar pada majlis sidang media teater terbaru lakonannya, Zombie La La La yang akan dipentaskan di Istana Budaya bermula 13 hingga 21 Februari depan, pelakon yang mencipta nama menerusi drama bersiri Kerana Terpaksa Aku Relakan, menyangkal dakwaan itu.

Katanya, selama ini dia memang sentiasa bersikap terbuka terhadap apa saja kritikan yang membina. Melaluinya dia dapat memperbaiki diri dan dijadikan penguat semangat untuk memberikan yang terbaik dalam lakonan.

“Begitupun, pendekatan diambil Izreen dengan menegur secara terbuka dan dimuat naik di laman sosial instagramnya itu adalah tidak wajar.

“Pertama, saya mempersoalkan mengapa kritkan dan komen itu harus dibuat secara terbuka. Bayangkan andai orang melakukan perkara sama ketika dia mula-mula membabitkan diri dalam bidang pengacaraan.

“Sepanjang pementasan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, ada juga rakan artis lain datang. Malah pengarah senior seperti Erma Fatima dan Rashid Sibir turut menonton. Mereka ada membuat teguran tetapi ia dilakukan secara peribadi menerusi Whatsapp.

“Selain memberi kritikan, rakan artis dan pengarah yang datang menonton turut memberikan cadangan kepada saya bagaimana untuk memperbaiki lakonan agar menjadi lebih mantap,” katanya.

Mengenai pembabitannya dalam Zombie La La La terbitan CTRA Production, Amar akui tidak berasa tertekan berbanding membintangi Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

“Seperti yang umum ketahui Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck diangkat daripada karya sastera dan naskhahnya berat. Apatah lagi ia pernah difilemkan dan kebanyakan penonton yang datang mempunyai persepsi sendiri membabitkan karya terbabit,” katanya.

“Bagaimanapun berbeza dengan Zombie La La La kerana ia naskhah baru ditulis Rohaya Attan bersama Erma Fatima. Ia bergenre komedi maka sudah pasti ringan.

“Tambah pula apabila berlakon dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, banyak perkara yang saya belajar. Jadi apabila kali kedua bekerja dengan produksi sama, saya sudah berasa selesa.

“Saya sudah tahu mana nak keluar dan masuk. Macam mana nak berlakon lebih besar di pentas,” katanya.

Kata Amar, walaupun dia bukan pelakon komedi, cerita ini bergantung penuh kepada jalan cerita.

“Kelucuan Zombie La La La terletak pada skrip dan dialog ditampilkan. Jadi saya tidak risau untuk menjayakan pementasan terbaru dan yakin berupaya memberi persembahan terbaik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amar menunjukkan kebolehannya menyanyi menerusi runut bunyi drama bersiri Tersuka Tanpa Sengaja, Cinta Kita. Menerusi drama yang sedang tersiar menerusi Astro Ria itu, Amar berduet dengan Amyra Rosli yang turut berlakon drama itu.

Kata Amar, ia sebenarnya projek khas yang dilakukan penerbit drama itu, Suhan Movies & Trading. Mengikut perancangan awal, dia harus berduet dengan Emma Maembong yang juga berlakon dalam drama itu. Bagaimanapun kerana Emma tidak dapat melakukannya, jadi Amyra mengambil tempatnya.

Amar akui memang meminati bidang nyanyian dan muzik sejak dulu malah dia boleh bermain dram dan gitar. Apabila diberi peluang menyanyi, sudah tentu tidak dilepaskan begitu saja.

“Memang saya meminati nyanyian dan muzik sejak dulu tapi peluang berlakon datang dulu. Sekarang memang saya merancang untuk menyanyi secara serius tetapi bukan berduet sebaliknya saya mahu muncul sebagai penyanyi berkumpulan.

“Sejak zaman remaja lagi saya sudah mempunyai kumpulan muzik tetapi selepas sibuk dengan dunia lakonan, hasrat itu terpaksa diletak tepi buat sementara waktu.

“Tidak dinafikan sekarang ini apabila peminat dapat menerima lagu Cerita Kita dengan baik, ia memberikan saya semangat untuk merealisasikan impian zaman remaja. Cinta Kita membuka jalan buat saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 5:03 AM