Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Terdapat pelbagai andaian dan teori dikaitkan terhadap punca dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas menyebabkan 10 anggota dan pegawai TLDM maut pagi Selasa lalu.

Dua helikopter berkenaan dikatakan saling bertembung semasa menjalani latihan lintas hormat sempena Sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut di Perak.

Presiden Persatuan Juruterbang Malaysia Kapten Ab Manan Mansor berpandangan, kelemahan Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk mencari kaedah pengurangan risiko formasi dijangka menjadi fokus siasatan susulan insiden pertembungan dua buah helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), awal minggu hadapan.

Ab Manan Mansor berkata, SOP pengendalian helikopter dalam penerbangan formasi perlu dipertingkatkan kerana pesawat berkenaan lebih 'mekanikal berbanding dengan pesawat 'sayap tetap' atau fixed wing.

"Pengendalian helikopter tidak digalakkan untuk membuat aksi atau manuver bahaya kerana helikopter ini lain, ia lebih mekanik jika dibandingkan dengan pesawat sayap tetap.

"Wujud kemungkinan berlaku kesilapan komunikasi serta perhitungan oleh juruterbang ketika pengendalian kerana penerbangan formasi ini perlu dilaksanakan dalam disiplin yang paling tinggi.

"Penerbangan formasi perlu ada taklimat pra penerbangan dan pasca penerbangan, semua anggota pasukan serta juruterbang perlu faham dengan tuntas tentang manuver penerbangan masing-masing," katanya.

Beliau yang pernah berkhidmat dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta berpengalaman menerbangkan 10 pesawat berkata, jika wujud kekeliruan dalam pra penerbangan, ia harus diselesaikan untuk mengelakkan insiden pelanggaran seperti yang berlaku minggu ini.

"Berdasarkan rakaman video yang tular, dapat dilihat dengan jelas pesawat wingman pertama (di sebelah kanan) berlanggar dengan wingman kedua (sebelah kanan).

"Ini mungkin bermaksud pesawat wingman pertama itu melencong secara berlebihan sehingga masuk di laluan pesawat wingman kedua yang mengakibatkan pelanggaran.

"Berdasarkan pengalaman saya, ia mungkin berpunca daripada kekurangan latihan yang mantap tentang penerbangan formasi berisiko tinggi," katanya.

Pada masa sama, beliau menolak kemungkinan 'masalah gangguan radio' atau komunikasi kerana pesawat berkenaan adalah pesawat moden yang dilengkapi dengan banyak set radio.

Katanya, mungkin boleh berlaku 'kekeliruan reruang' (spatial disorientation) berikutan juruterbang yang kurang kemahiran kerana banyak membuat manuver baharu.

DETIK pertembungan dua helikopter semasa menjalani latihan lintas hormat sempena Sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut di Perak, Selasa lalu.
DETIK pertembungan dua helikopter semasa menjalani latihan lintas hormat sempena Sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut di Perak, Selasa lalu.

Menurutnya, kekeliruan reruang ini boleh berlaku apabila juruterbang tidak dapat memastikan kedudukan sebenar, pergerakan dan altitud relatif atau keadaan persekitarannya. "Seingat saya, ini adalah insiden penerbangan formasi tentera yang membabitkan kehilangan nyawa yang paling ramai dalam sejarah negara dan seharusnya satu bentuk SOP lebih kukuh diperkenalkan," katanya.

Sementara itu pakar penerbangan yang juga Ketua Unit Penerbangan Mencari dan Menyelamat Institut Teknologi Penerbangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Madya Mejar Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian tidak menolak andaian nahas berpunca pelanggaran titik kritikal pada struktur pesawat helikopter itu.

"Jika titik kritikal sesebuah pesawat terjejas atas faktor tertentu, maka ia akan mengakibatkan struktur pesawat merekah secara cepat sekali gus menyebabkan ia kehilangan aerodinamik.

"Setiap pesawat ada titik kritikal, kalau titik kritikal sudah merekah dan merebak ia akan menyebabkan strukturnya merekah dengan cepat dan disebabkan itu, kehilangan aerodinamik. Jadi, kemungkinan (pelanggaran kedua-dua pesawat) terkena titik kritikal (pesawat) itu.

"Sebab itu, ia mungkin tidak dapat melakukan putaran auto. Selalunya, helikopter kalau kehilangan enjin boleh melakukan putaran auto untuk mendarat dengan selamat…tetapi mungkin terkena bahagian kritikal (pesawat itu) di mana ia mengurangkan kadar aerodinamik (pesawat) secara tinggi," katanya sebelum ini.

Beliau juga menjelaskan, apabila ketiadaan optimum aerodinamik pada helikopter mahupun pesawat yang lain maka ia akan mengakibatkan sesebuah pesawat tidak dapat melakukan penerbangan dengan baik sehingga boleh terhempas.

"Disebabkan tiada aerodinamik optimum (penerbangan) pesawat akan melencong ke kiri dan kanan seterusnya tidak dapat terbang dengan trajektori yang optimum itu dan menyebabkan ia terhempas selepas itu," katanya.

Terdahulu, TLDM mengesahkan 10 anggotanya terkorban dalam tragedi dua helikopter terhempas yang membabitkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru helikopter Fennec TLDM.

"Selalunya helikopter sebegini ada sistem pemantauan penerbangan yang memantau keadaan pesawat yang dilakukan oleh bahagian kejuruteraan, mereka akan kutip data selepas penerbangan dan mereka akan plot trend keadaan pesawat kemudian mereka boleh kemukakan solusi berhubung penyelenggaraan bagi memperbaiki dan membaik pulih pesawat itu," katanya.

Selain itu terdapat juga teori ketiga iaitu berlakunya kawalan pesawat tergendala atau control freeze.

Menurutnya, kegagalan putaran pada satu paksi pada kadar tidak lancar, juga memungkinkan pelanggaran helikopter berlaku.

"Namun itu hanya andaian awal, perlu siasat kotak hitam kedua-dua helikopter sebelum memperolehi jawapan sebenar terhadap insiden itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 12:31 PM