PEGANG watak antagonis Aziz dalam teater Tenggelamnya Kapal Van der Wijck.
PEGANG watak antagonis Aziz dalam teater Tenggelamnya Kapal Van der Wijck.
Oleh Ramlah Zainal


Pencarian watak Aziz dalam pementasan teater Tenggelamnya Kapal Van der Wijck terbitan CTRA Production berakhir apabila pelakon dan pengacara Karl Shafek, 34, terpilih untuk melakonkan watak berkenaan.

Karl antara pelakon yang disenaraikan pihak produksi untuk melakonkan watak Aziz yang juga watak antagonis dalam pementasan arahan Azhar Zainal itu.

Karl berganding dengan teraju utamanya iaitu pelakon terkenal Nabila Huda sebagai Hayati dan Amar Baharin (Zainuddin).

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Karl Shafek Ibrahim ini mengakui dia menerima tawaran berlakon teater itu kerana ingin mencabar lakonannya.

“Saya sudah menonton filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck sebelum ditawarkan berlakon dalam teater ini. Bagi saya, watak Aziz sangat mencabar kerana banyak bermain de­ngan emosi dan perasaan.

“Apabila ditawarkan untuk melakonkan watak sama di pentas teater, saya berasakan ia satu penghormatan besar dalam kerjaya sebagai pelakon,” katanya.

Bekas pengacara Hip TV itu mengakui antara babak yang memerlukan kekuatan dalaman ialah ketika Aziz menulis surat kepada Zainuddin untuk ‘menyerahkan’ Hayati yang dirampasnya daripada Zainuddin.

“Babak itu adalah kemunculan terakhir Aziz yang dikenali sebagai kasanova dan kaki judi sebelum me­ngambil tindakan membunuh diri di bilik hotel.

“Menurut perancangan produksi, untuk menggambarkan kekecewaan Aziz, babak itu ditampilkan sangat ringkas di pentas yang hanya mempunyai kerusi dan meja sebagai prop.

“Justeru, sebarang kesilapan di atas pentas akan dilihat dengan jelas oleh penonton. Apa yang penting adalah monolog saya sebagai Aziz yang menulis surat kepada Zainuddin,” katanya.

Karl berkata, dia juga percaya boleh menangani watak Aziz dengan baik seperti dikehendaki skripnya.

“Saya sudah berlatih selama dua minggu dan percaya dapat melakonkan watak itu dengan baik. Saya juga sangat gembira kerana berpeluang berlakon bersama aktivis teater terkenal seperti Rasdi Daud, Bohari Ibrahim dan pelakon Liza Abdullah.

“Saya berharap penonton tidak akan membanding­kan teater ini dengan filem yang pernah dihasilkan di Indonesia kerana ia dua medium yang berbeza serta dihasilkan dalam versi berbeza. Sebaliknya, kita berkongsi pengalaman kehidupan manusia yang diketengahkan dalam karya ini,” katanya yang pernah terbabit dalam pementasan teater Maduku Kalut, Kawan-Kawan Yang Kita Suka dan Plastik Hitam sebelum ini.

Sementara itu, penerbit CTRA Production Siti Rohayah Attan berkata, pihaknya sepakat untuk memilih Karl memegang watak Aziz selepas berbincang dengan Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani dan pengarah teater ini sendiri.

“Kami memang ada me­nyenaraikan barisan pelakon untuk memegang watak Aziz tetapi akhirnya kami sepakat memilih Karl untuk bergandingan dengan Nabila.

“Selain ada pengalaman berlakon teater sebelum ini, Karl juga adalah pelakon generasi muda yang boleh diketengahkan pada masa depan. Pihak kami percaya, Karl mampu menjiwai watak Aziz dengan baik seperti dikehendaki watak itu,” katanya.

Teater ini turut mendapat sentuhan komposer terkenal Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah yang mencipta seba­nyak 12 lagu manakala lirik lagu tema berjudul Teng­gelam Jiwa Cinta ditulis Rosminah Tahir.

Antara pelakon yang akan muncul dalam teater anjuran bersama CTRA Production, GenSem dan Istana Budaya ini ialah Syarul Ridzwan (Muluk), Amyra Rosli (Khadijah), Liza Abdullah (Bonda), Rasdi Daud (Datuk Pang­lima Adat) dan Bohari Ibrahim (Datuk Panglima Garangt).

Teater Tenggelamnya Kapal Van der Wijck diadaptasi daripada novel berjudul sama yang diterbitkan pada 1939 karya ulama terkenal Nusantara, Prof Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali dengan nama Hamka.

Teater ini mula dipentaskan di Istana Budaya mulai 12 Oktober hingga 18 Oktober depan.

Maklumat lanjut mengenai tiket layari www.AirAsiaRedTix.com atau dapatkan di kaunter Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:01 AM