Seramai 265 warga asing dan seorang warga tempatan ditahan dalam tiga operasi berasingan di Pasir Gudang, Iskandar Puteri dan Senai pada semalam dan kelmarin. FOTO IHSAN JIM
Seramai 265 warga asing dan seorang warga tempatan ditahan dalam tiga operasi berasingan di Pasir Gudang, Iskandar Puteri dan Senai pada semalam dan kelmarin. FOTO IHSAN JIM
Omar Ahmad


Johor Bahru: Seramai 265 warga asing dan seorang warga tempatan ditahan dalam pelbagai siri operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, semalam dan kelmarin.

Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir berkata, dalam serbuan pertama menerusi Ops Mahir, pihaknya menahan 207 warga asing termasuk seorang lelaki tempatan di kawasan tapak pembinaan di Pasir Gudang.

Katanya, dalam operasi yang bermula jam 10.20 pagi itu, seramai 530 warga asing dan tempatan diperiksa dan 207 daripada mereka ditahan.

"Kesemua mereka yang ditahan berumur 18 hingga 61 tahun adalah 132 warga Bangladesh; China (53); Myanmar (10); Pakistan (enam); Indonesia (tiga); Vietnam (dua) dan seorang lelaki tempatan.

"Kesemua warga asing yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

"Seorang lelaki warga tempatan ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana melindungi warga asing," katanya di sini, hari ini.

Baharuddin berkata, dalam operasi kedua, seramai 16 warga asing ditahan menerusi pemeriksaan di lapan premis di sekitar Iskandar Puteri, semalam.

Katanya, tindakan penguatkuasaan diambil susulan aduan awam berhubung kebanjiran warga asing di kawasan itu yang bekerja tanpa permit sah dan berniaga tanpa lesen.

"Kesemua yang ditahan adalah enam warga Bangladesh, Indonesia (enam), Sri Lanka (dua) dan masing-masing seorang warga India dan Pakistan.

"Mereka yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

"Bagi operasi ketiga yang dijalankan di Senai, kelmarin, JIM Johor berjaya menahan 43 individu dalam serbuan di 15 premis," katanya.

Beliau berkata, menerusi tiga operasi itu, sebanyak enam notis hadir ke pejabat dikeluarkan oleh JIM bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 12:54 PM