Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Hulu Selangor: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih optimis MCA akan menyertai kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Beliau berkata, di peringkat bahagian, Dewan Undangan Negeri (Dun) dan negeri, pihaknya tidak melihat ia merupakan masalah besar untuk MCA menyertai kempen PRK.

Katanya, pihaknya juga akan cuba untuk menyantuni dan memahami kepimpinan MCA.

"Di peringkat bahagian, Dun serta negeri, saya tidak nampak masalah yang besar. Mereka akan menggerakkan jentera yang ada, maka kita memahami dan menyantun di atas sana," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon PRK Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.

Sebelum ini, MCA dilaporkan untuk tidak berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu sekiranya calon BN tidak diletakkan bertanding.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pihaknya tidak mengetahui bilakah MCA akan menyertai kempen PRK Kuala Kubu Baharu.

"Kita tidak menjangkakan bilakah waktu yang sesuai, tetapi saya fikir Umno dan MCA adalah dua sahabat yang telah lama sejak tahun 1974 dalam BN.

"Sebelum itu pada tahun 1955 dalam Perikatan. Mereka merupakan parti teras dalam Perikatan terdahulu dan BN," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk berkenaan memaklumkan, kehadiran pimpinan utama Umno dan BN ke Pusat Penamaan Calon adalah bagi menyokong calon PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan.

"Kami berpegang kepada prinsip, jika kerusi itu dipunyai oleh salah satu parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, maka kita menghormati formula untuk memberikan kerusi itu kepada parti berkenaan kecuali jika terdapat pertukaran dan lain-lain faktor," katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, PRK kali ini juga merupakan masanya kepimpinan Umno dan BN untuk membantu parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi membalas jasa diberikan oleh mereka dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

""Maka, ini ketika untuk mereka dibantu dengan dokongan daripada kepimpinan Umno khususnya dan BN.

"Kita merasakan harus membalas jasa yang telah mereka curahkan ketika PRK di Tioman, Pelangai dan Kemaman. Ini merupakan komitmen yang dibuat oleh Umno dan BN," katanya.

Saingan 4 penjuru di PRK Kuala Kubu Baharu

MIC akan tolong di PRK Kuala Kubu Baharu - Anwar

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 12:25 PM