NABILA. FOTO: Rohanis Shukri
NABILA. FOTO: Rohanis Shukri
Norhayati Nordin


PELAKON Nabila Razali, 27, memohon maaf di atas kekhilafan dirinya melakonkan adegan bersentuhan dalam episod akhir drama Pesan Pada Hati yang disiarkan TV3.

Nabila berkata dia tidak mahu komen lebih mengenai perkara itu memandangkan drama berkenaan sudah tamat tayangannya baru-baru ini.

"Saya hanya mampu minta maaf kepada sesiapa yang kurang menyenangi perbuatan itu dan diakui ia kesilapan saya sendiri walaupun tiada niat melakukannya.

"Saya sedar situasi itu berlaku apabila terlalu mengikut kehendak karakter yang dilakonkan," katanya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Cemburu, Pematah Hati dan Vroom Vroom itu, dia sewajarnya menjaga batas sebagai pelakon berhijab.

"Saya tahu, gadis bertudung tidak sepatutnya melakonkan babak bersentuhan.

"Namun, apabila menjiwai watak maka terlepas pandang dan saya buat silap," katanya.

Berani mengakui kesilapan diri, Nabila berkata dia tidak akan mengulangi kesilapan itu lagi.

"Insya-Allah, saya tidak akan mengulangi kesilapan sama pada masa akan datang.

"Apatah lagi, saya pun sudah masuk kelas lakonan dan mendapat bimbingan untuk memahami teknik dalam lakonan.

"Sebelum ini, saya sekadar berlakon tetapi kurang memahami teknik lakonan. Saya bersedia sepenuhnya untuk menimba ilmu,” katanya.

Nabila berkata dalam kelas yang disertai itu, dia sering diingatkan supaya tidak mengenang drama yang lepas.

Apapun, dia bersyukur drama Pesan Pada Hati yang dibintangi bersama pelakon Shukri Yahaya itu masih mendapat maklum balas baik penonton. Menerusi drama 15 episod arahan terakhir Allahyarham Raja Ahmad Alauddin itu, Nabila melakonkan watak gadis kampung bernama Zulaikha. Zulaikha berkhawin dengan Yusof lakonan Shukri yang juga adik tiri kakak iparnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 6:33 PM