AKSI pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. FOTO BERNAMA
AKSI pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad badminton Piala Thomas negara kini boleh menarik nafas lega apabila sudahpun mengesahkan kemenangan 3-0 ke atas Hong Kong dalam aksi pertama kumpulan D.

Turun beraksi di Gimnasium Pusat Sukan Zon Hi-Tech, Lee Zii Jia memberi mata pertama buat kem badminton negara apabila menewaskan Lee Cheuk Yiu 21-18, 21-18 dalam aksi yang berlangsung 45 minit.

Sementara itu beregu nombor satu negara yang juga bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah menewaskan pasangan di ranking ke-170 itu. Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi, 21-16, 21-12.

Aaron-Wooi Yik yang kini menghuni ranking kelima dunia hanya memerlukan 21 minit untuk menyumbangkan mata kedua negara.

Malaysia mengesahkan kemenangan ke atas Hong Kong apabila perseorangan kedua negara, Leong Jun Hao menyumbangkan mata ketiga.

Bertemu buat kali pertama Jun Hao bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan Ng Ka Long 17-21, 21-12, 21-15 dalam masa 61 minit.

Kemenangan ke atas Hong Kong itu sudah pasti memberi motivasi buat pasukan untuk membuka peluang melangkah lebih jauh dalam kejohanan kali ini sekali gus memperoleh pencapaian lebih baik berbanding terkandas di suku akhir pada edisi 2022 di Thailand.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akan turun sebagai beregu kedua menentang Lee Chun Hei-Tang Chun Man manakala Justin Hoh akan melengkapkan saingan kumpulan D sebagai perseorangan ketiga berdepan Chan Yin Chak.

Malaysia selepas ini akan berdepan Algeria untuk perlawanan kedua peringkat kumpulan esok sebelum turun berdepan juara 2016, Denmark, Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 12:10 PM