FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Sifat gopoh serta mahukan sesuatu dengan cara mudah dan menguntungkan menjadi faktor ramai golongan muda terjerat dengan sindiket penipuan.

Secara psikologinya, golongan berkenaan kurang mempunyai neraca pertimbangan rasional serta bersifat gopoh dalam membuat keputusan.

Pada masa sama, warga emas turut menjadi sasaran kerana sifat semula jadi jiwa mereka 'lebih bertaman' daripada kategori umur lain sekali gus mudah untuk dimanipulasi oleh pihak ketiga.

Demikian respons Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berhubung warga emas sering dijadikan sasaran mudah untuk skim penipuan dalam talian.

Pada masa sama, golongan ini dilihat sangat stabil daripada kedudukan kewangan kerana sudah memiliki wang simpanan serta kerjaya yang matang menjadikan 'lombong emas' buat sindiket penipuan.

Muhammad Muhsin berkata, golongan muda ini sering dikaitkan dengan sifat terburu-buru sehingga mereka mengabaikan 'tanggapan kedua' (second thought) untuk melakukan sesuatu.

Menyentuh soal warga emas pula, beliau berkata, warga emas mempunyai perubahan psikologi daripada usia dewasa kepada tua.

Beliau berkata, walaupun banyak 'makan garam' iaitu menunjukkan sewajarnya lebih baik dalam membuat keputusan, tetapi biasanya jiwa menjadi lebih lembut dan lebih mudah untuk dipengaruhi.

"Ada juga yang mengalami keadaan dipanggil kemerosotan kognitif ringan dan keadaan itu sangat mempengaruhi kebolehan mereka untuk membuat keputusan," katanya.

Beliau berkata, golongan ini perlu diberi kesedaran terhadap bahaya ancaman penipuan serta penggunaan teknologi dengan lebih bijak.

Menurutnya, golongan ini perlu didedahkan dengan kefahaman berhubung sekuriti seperti nombor panggilan bukan talian tetap berisiko untuk panggilan scam.

"Nombor PIN dan nombor akaun, nombor kad pengenalan dan sebagainya perlu dirahsiakan dan tidak didedahkan serta sentiasa dengan perasaan curiga harus tinggi supaya lebih berwaspada.

"Ini tidak hanya untuk golongan warga emas sebaliknya untuk semua peringkat umur supaya sentiasa berwaspada," katanya.

Senang percaya tawaran lumayan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 12:40 PM