GANDINGAN pelakon popular, (dari kiri) Sharul Ridzwan, Amar Baharin, Nabila Huba, Amyra Rosli dan Karl Syafek.
GANDINGAN pelakon popular, (dari kiri) Sharul Ridzwan, Amar Baharin, Nabila Huba, Amyra Rosli dan Karl Syafek.

Berlakon filem dia, untuk drama TV dia dan untuk teater pun dia. Ibaratnya, wajahnya di mana-mana. Itulah pe­nangan artis popular, semua orang mahu menumpang popularitinya.

Soal mampu atau tidak menjiwai watak diberikan, soal kedua. Hakikatnya, kalau popular di kaca televisyen belum tentu mampu menarik penonton ke panggung dan lebih penting lagi, belum tentu mampu melontarkan suaranya di pentas teater.

Sebabnya, tidak mudah berlakon teater dan tidak semua pelakon boleh berlakon teater. Itulah sebabnya setiap kali pementasan teater, sering kali dilihat ada masalah mencari pelakon.

Ada pelakon dirasakan sesuai untuk watak diperlukan, tapi gagal melamarnya kerana pelakon itu ada komitmen lain. Ada pula pelakon lain dirasakan lebih sesuai, tapi kerana nama tidak popular, tidak pula menjadi pilihan.

Malang sekali pentas teater juga terpaksa mengalah mengejar nama popular bagi memastikan pementasannya mendapat sambutan. Sudahlah stesen TV mengejar nama popular untuk mengejar rating, di pentas teater juga ikut rentak sama.

Malam ini hari terakhir pementasan teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck di Istana Budaya. Karya agung tulisan Prof Dr Hamka atau Haji Abdul Malik Karim Amrullah itu dizahirkan di pentas hebat ini selama seminggu sejak Isnin lalu.

Ia juga menggunakan formula sama, barisan pelakon popular di TV dibawa ke pentas teater. Malah rata-rata pelakonnya kali pertama berlakon teater dan beraksi pula di Istana Budaya.

Amar Baharin, diberi tanggungjawab berat memegang watak utama dalam pementasan besar untuk karya hebat dan dikenali. Sudah tentu tidak mudah untuk pelakon yang lebih dikenali menerusi lakonannya dalam drama rantaian popular itu membuat keputusan.

Ia satu keputusan cukup berani dilakukan Amar dan sekalung tahniah kerana berani menyahut cabaran itu apabila menerima lamaran daripada penerbit.

Begitu juga Syarul Ridz­wan, Karl Syafek dan Amyra Rosli. Hanya Nabila Huda diakui kemampuannya di pentas teater. Persoalannya, berjayakah mereka melaksanakan tang­gungjawab besar menjayakan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang pertama kali ditulis oleh Hamka sebagai cerita bersambung dalam majalah Pedoman Masyarakat pada 1938 dan diterbitkan dalam bentuk novel pada 1939.

Sejak itu, ia terus diulang cetak sampai sekarang dan juga diterbitkan dalam bahasa Melayu sejak 1963 serta menjadi bahan bacaan wajib bagi pelajar sekolah di Indonesia dan juga Malaysia.

Sebagai Zainuddin, Amar dilihat belum mampu menunjukkan lakonan membanggakan sehebat karyanya yang menjadi sebutan. Rata-rata menyifatkan lakonannya biasa-biasa saja atau sekadar boleh tahan.

Khabarnya, lakonan Amar pada malam pertama agak mengecewakan dan nampak gementar tetapi dapat diperbaiki pada hari-hari berikutnya tetapi tidaklah sampai ke tahap membanggakan.

Begitu juga Syarul Ridz­wan sebagai Muluk, kawan baik Zainuddin dan Karl Syafek sebagai Aziz yang berjaya memperisterikan Hayati, juga biasa saja.

Kalau dalam karya, watak Zainuddin dan Aziz sangat penting kerana menjadi lelaki yang hadir dalam hidup Hayati. Malah Aziz bukan saja berjaya mengahwini Hayati, malah mengubahnya daripada wanita Minangkabau yang kuat pegangan agamanya kepada wanita berpenampilan moden.

Nabila Huda yang diakui kehebatan lakonannya sebelum ini, tidak me­ngecewakan tetapi kurang menyerlah.

Mungkinkah kerana kurang keserasian dengan gandingannya dalam teater itu menyebabkan Nabila gagal mempamerkan lakonan hebat atau pun watak Hayati tidak sesuai untuk Nabila?

Bagaimanapun, pujian untuk Amyra Rosli sekali gus membuktikan pelakon popular di TV itu bukan saja cantik tetapi juga berbakat.

Mungkin untuk karya hebat seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, penerbit harus utamakan bakat dan bukan populariti.

Pemilihan pelakon harus diberi keutamaan, ditambah pula kos pementasannya bukan kecil tapi mencecah RM2.6 juta bagi memastikan karya yang pernah diadaptasi ke filem di Indonesia ini dapat direalisasikan dengan jayanya di pentas teater.

Daripada bajet itu, sete­ngah juta diperuntukkan kepada kerja teknikal dan cabaran terbesar mereka ialah menghasilkan replika kapal dan ditenggelamkan di IB.

Nama Remy Ishak disebut-sebut menjadi pilihan sebelum ini untuk watak Zainuddin. Bagaimanapun, pelakon yang membuktikan kemampuannya di pentas teater sebelum ini, tidak dapat menjayakannya kerana ada komitmen lain. Akhirnya Amar Baharin menjadi pilihan.

Kalau melihat kepada wataknya yang berat, seharusnya diberi kepada pelakon yang sudah membuktikan kemampuan, bukannya melakukan percubaan dengan mengambil muka baru. Lainlah kalau untuk pementasan karya biasa.

Apa pun, sekalung tahniah buat IB, GenSem dan CTRA Production kerana berani memilih karya hebat untuk pementasan kali ini.

CTRA Production juga sudah membuktikan kesungguhan mereka dalam usaha mengangkat martabat teater tanah air. Semoga terus berkarya melalui naskhah hebat lainnya terutama hasil karya sasterawan kita.

Difahamkan, karya Ham­ka itu adalah atas pilihan Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani yang sudah lama me­ngagumi novel berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 5:20 AM