WONG (tengah) pada sidang akhbar Jet Set With Setia.
WONG (tengah) pada sidang akhbar Jet Set With Setia.

Subang Jaya: SP Setia Bhd (SP Setia) menjangka keadaan ringgit yang lemah tidak akan memberi kesan kepada projek hartanahnya iaitu Stesen Janakuasa Battersea di United Kingdom kerana pembeli dari Malaysia hanya mewakili kurang daripada 50 peratus berbanding jumlah keseluruhan.

Pemangku Timbalan Presidennya, Datuk Wong Tuck Wai berkata, syarikat yakin mampu memenuhi sasaran ditetapkan untuk projek terbabit pada tahun ini meskipun keadaan ekonomi tidak stabil.

“Warga Malaysia yang melakukan pelaburan untuk pembelian ini mungkin sudah dilindungi nilai pertaruhan masing-masing apabila berhadapan dengan cabaran kewangan masa kini.

“London adalah pasaran antarabangsa dan ia tidak terhad kepada warga Malaysia dan kami amat berhati-hati memilih pembeli Battersea dengan sasaran kepada pasaran China, India dan negara lain yang tidak menghadapi isu mata wang,” katanya pada pelancaran kempen ‘Jet Set With Setia’, baru-baru ini.

Kebimbangan mengenai projek Battersea SP Setia timbul apabila mata wang ringgit lemah berbanding dolar AS dan pound sterling (Pound) selepas China menurunkan nilai mata wangnya iaitu Renminbi.

Disebabkan penjualan hartanah Battersea dilakukan dalam mata wang Pound, ringgit yang lemah diterjemahkan kepada pembelian mahal daripada aspek ringgit.

Beliau berkata, pembelian hartanah perkara yang tepat pada masa ini terutama bagi individu yang ingin mencari prospek pelaburan kukuh mereka perlu melabur meskipun dalam keadaan pasaran tidak stabil.

SP Setia melancarkan kempen ‘Jet Set With Setia’ bersempena ulang tahun ke-40 yang menawarkan peluang kepada pelanggan untuk melancong ke luar negara.

Kempen yang bertujuan menghargai pelanggan SP Setia itu terbuka kepada pemilik hartanah SP Setia yang berada di Malaysia dan sudah pun menandatangani perjanjian jual dan beli hartanah bermula 1 Januari hingga 1 Disember 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:04 AM