BORIS (tengah) melihat model projek Battersea Power Station sambil diperhatikan Liew (dua dari kanan).
BORIS (tengah) melihat model projek Battersea Power Station sambil diperhatikan Liew (dua dari kanan).
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur

Battersea Power Station Development Company mencatatkan jumlah jualan hartanah untuk tiga fasa pembangunan bagi projek pembangunan stesen jana kuasa Battersea, London sebanyak 1.8 bilion pound sterling (RM9.7 bilion).

Pengerusinya, Tan Sri Liew Kee Sin berkata, projek itu yang akan berhenti seketika selepas fasa ketiga ini untuk memberi laluan bagi pembinaan infrastuktur berhampiran tapak pembangunan mencatatkan jualan memberangsangkan.

“Untuk fasa pertama, 99 peratus hartanah ditawarkan dijual manakala fasa kedua (90 peratus) dan fasa ketiga (50 peratus).

“Jumlah keseluruhan nilai jualan hartanah tiga fasa itu mencecah RM10 bilion dan ini pencapaian membanggakan bagi syarikat hartanah dari Malaysia,” katanya selepas sesi lawatan Datuk Bandar London, Boris Johnson ke Pusat Antarabangsa Setia (SIC), di sini, semalam.

Menurutnya, fasa seterusnya bagi pembangunan stesen jana kuasa Battersea dijangka dimulakan empat hingga lima tahun lagi.

“Buat masa ini, kerja pembangunan bagi fasa satu hingga tiga mengikut jadual ditetapkan dan mungkin dapat disiapkan lebih awal.

“Untuk fasa pertama, ia dijangka siap sepenuhnya menjelang 2016 manakala fasa kedua (2018) dan fasa ketiga (2019),” katanya.

Bulan lalu, pihaknya menganjurkan pelancaran global dengan minggu pertama diadakan secara serentak di Kuala Lumpur, London, New York, Paris, Shanghai, Singapura, Dubai dan Hong Kong serta diikuti pada minggu kedua di Los Angeles, Milan, Tokyo, Beijing dan Doha.

Projek yang merangkumi kediaman, ruang komersial termasuk bangunan hotel dijangka menambah nilai kepada keseluruhan projek pembangunan berkenaan yang bakal siap sepenuhnya menjelang 2025.

Fasa ketiga menawarkan 1,200 unit kediaman termasuk 570 rumah mampu milik, hotel dengan 200 bilik, 350,000 kaki persegi ruang niaga dan restoran serta 15,000 kaki persegi ruang santai.

Nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan projek itu dijangka mencecah 8.5 bilion pound sterling (RM43.9 bilion).

Kira-kira 60 peratus pembeli adalah dalam kalangan pemegang pasport United Kingdom dan 15 peratus pembeli adalah rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 5:02 AM