KUALA LUMPUR  15 MARCH 2018. Mah Sing Group Managing Director Tan Sri Leong Hoy Kum with reporters visit Mah Sing Group new employer value proposition its newly renovated headquarters. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.
KUALA LUMPUR 15 MARCH 2018. Mah Sing Group Managing Director Tan Sri Leong Hoy Kum with reporters visit Mah Sing Group new employer value proposition its newly renovated headquarters. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mah Sing Group Bhd menjangkakan prestasi yang lebih baik pada 2022 dengan sasaran untuk melancarkan hartanah bernilai RM2.4 bilion pada tahun ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju hartanah itu berkata, ia percaya kadar pemulihan pasaran hartanah akan dapat dipercepatkan jika pertumbuhan ekonomi global dan domestik kekal stabil.

"Kami akan terus membina hartanah mampu milik, menyedari bahawa generasi muda amat memerlukan kediaman sedemikian," kata syarikat tersebut.

Terdahulu, Mah Sing mengumumkan kumpulan itu memulakan tahun baharu dengan kempen jualan "Lift Off with Mah Sing" yang mempamerkan 21 projek untuk sepanjang 2022.

Pakej jualan itu juga termasuk penjimatan hebat dan insentif serta bayaran bulanan yang rendah bagi projek dan unit terpilih, katanya.

Sementara itu, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, Mah Sing mencapai sasaran jualannya sebanyak RM1.6 bilion, yang dipacu terutamanya daripada strategi terasnya dalam pemasaran digital dan hartanah mampu milik di lokasi strategik, iaitu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

Syarikat itu berkata, projek pembangunan yang menjadi penyumbang utama kepada pendapatannya termasuk M Vertica, M Centura, M Luna dan Meridin East, seperti yang diumumkan pada suku ketiga 2021.

Projek lain yang turut menyumbang termasuklah M Oscar, M Arisa, M Adora, Southville City, Ferringhi Residence, Southbay City, Sierra Perdana, Meridin @ Medini dan IPARC.

Mah Sing juga berjaya memperoleh jualan hartanah melalui kempen "Home with Mah Sing," "Mah Sing Now" dan "Come Home 2 Mah Sing."

Kumpulan itu turut berjaya menyerahkan pemilikan kosong Edisi M Siri - M Centura di Sentul pada Disember tahun lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 4:41 PM